BISMILLAH

Search This Blog

Thursday, March 24, 2011

Cerpen: Kau Harus Ada.




Cerpen “Kau Harus Ada”

Dapat idea tak fasal-fasal.

Enjoy it!




Cerpen: Kau Harus Ada.

“Awak, bangun awak.”

Suara itu menembusi kegelapan. Menarik aku dari kelamnya lena. Perlahan-lahan kubuka mata. Cahaya masuk, dan siling menjadi persembahan pertama.

“Urgh,” Aku mengesat mata, yang kurasa masih tidak hilang kantuknya.

“Mengantuk lagi?”

Aku menggeleng. Kemudian perlahan-lahan menumpukan pandanganku kepada yang bersuara.

Dia sedang memandangku dengan perihatin.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang masih menghidupkan diri kita hari ini.” Aku mengucap perlahan. Ketika itu juga bibirnya mengukir senyuman.

“Ada setengah jam lagi sebelum Subuh. Sempatlah kalau nak qiamullail.” Dia perlahan-lahan turun dari katil.

Aku mengangguk dengan garisan kesenangan. Aku menolak katil untuk menukar posisi, dari berbaring kepada duduk bersila. Sekadar memandang dia yang berjalan menjauhi katil, kemudian menghilang di balik bilik air.

Senyumanku belum pudar.

Puas hati bangunku hari ini. Seperti juga hari-hari sebelumnya semenjak wujudnya dia.

Benar sangkaanku, dia harus ada.

“Alhamdulillah ya Rabb,” Dan syukurku bukan sekadar kata. Segera aku bangun, menuju ke bilik air di luar kamar. Membersihkan diri, siap mengambil peluang qiam yang masih berbaki. Biar syukurku wujud dalam amalan juga.
******

Monday, March 14, 2011

Cerpen: Dia memanggilku, untuk memanggilNya.

Cerpen: Dia memanggilku, untuk memanggilNya.




Inspirasi watak utama cerpen ini. hihi. ~ Picture by FF-XIInet of Deviant Art.


“Yang kita perlukan, adalah menyahut panggilanNya itu. Dan percaya.”

Cerpen terbaru daripada saya,

“Dia memanggilku, untuk memanggilNya.”

Enjoy!




Suasana hari ini damai. Tenang. Padang rumput yang luas, bersama kewujudan beberapa pokok hijau yang merimbun indah, menyempurnakan lagi keadaan di sini. Ketika ini, kelihatan di udara dua pasang burung terbang pulang ke sarang mereka, yang terdapat pada sebatang pokok. Bunyi kicauan pasangan burung itu, membuatkan seorang lelaki yang sedang berteduh di bawah pokok mengangkat wajahnya.

Rambutnya agak panjang, tetapi kemas. Wajahnya cerah, dan matanya bersinar. Berpakaian serba hitam, dengan tangan bersilang di dada bersama kaki yang melunjur di atas hamparan rumput. Perlahan-lahan kepalanya menunduk semula, hingga separuh wajahnya hampir tertutup dengan kolar jaketnya yang agak tinggi.

“Haaah.” Dia memejamkan mata.

Mungkin kicauan burung tadi menganggu rehatnya.

“Tuanku! Tuanku!”

Dan jeritan itu mengundang kerut dahinya. Perlahan-lahan matanya dibuka. Haa….

Seorang lelaki berpakaian tentera lengkap dengan selaras senjata di pinggang sedang berlari mendapatkannya. Sebaik sahaja tentera itu tiba di hadapannya, tentera itu membongkok dan menongkat tubuh dengan kedua-dua tangannya di lutut. Dapat dilihat dada lelaki itu turun naik. Termengah-mengah berusaha mengatur semula pernafasannya.

Dia kenal tentera itu. Tentera itu adalah antara tentera yang rapat dengannya. Satu-satunya manusia yang tahu akan di mana dia senang menyembunyikan dirinya.

Dia perlahan-lahan bangun. Tanpa menunggu tentera itu bersuara, dia terus bergerak meninggalkan pokok tersebut. Tentera yang sedang mengambil nafas untuk berbicara, menoleh ke arah lelaki yang dipanggil Tuanku itu.

“Tuanku? Apa yang tuanku lakukan di sini? Tentera musuh semakin menghampiri. Kami perlukan tuanku! Mengapa tuanku berlari menyembunyikan diri?”

Langkahannya terhenti membelakangkan tentera itu.

“Bukankah ayahandaku ada? Bukankah kekandaku ada?” Dia bersuara. Dingin. Tanpa berpaling.

“Tuanku, tetapi tuanku punya kelebihan pemberian Tuhan. Mengapa mesti melarikan diri ketika kami memerlukan?”

“Aku lemah, aku banyak kecacatan. Aku tidak mampu memimpin kalian. Kau juga tahu, bagaimana keadaanku.” Lelaki itu kembali melangkah. Jarak antaranya dan pokok tersebut semakin bertambah.

“Ayahanda dan kekanda lebih baik.”

“Tetapi mereka telah tewas dalam menghalang Tentera Utopia menghampiri Regalia! Jika tidak, saya tidak akan berada di sini memanggil tuanku. Tuanku, tentera Utopia sudah semakin hampir dengan kita!”

Dia kekal melangkah. Dua tangannya masuk ke dalam poket seluar.

“Pergi, aku bukanlah orang yang layak menerima tanggungjawab ini. Beritahu Ayahdanda dan kekanda, jangan berputus asa.” Dan dia semakin jauh.

“Tuanku Narsil! Maka bukankah tuanku adalah seorang yang berputus asa?!” Tentera itu melaung, seraya lelaki tersebut menjauh.

Lelaki itu melepaskan keluhan. Tangan kanan keluar daripada saku, diangkat, dan melambai tanpa memandang ke belakang.

“Namaku adalah Rafayel.”

Tentera itu terjelepuk.

Kecewa.

Nyata, Raja Muda Narsil belum pulih daripada trauma hari lamanya.

Yang menyebabkan dia berpaling, memilih untuk duduk berdiam diri sahaja.

*****

Saturday, March 12, 2011

Cerpen: Aku Berada Dalam Tangan Yang Aku Cintai

Cerpen: Aku Berada Dalam Tangan Yang Aku Cintai.




Aku berada di dalam tangan Yang Aku Cintai, dan Dia Mencintai Aku. ~ Picture by vamos8Volta of Deviant Art.







Cerpen terbaru saya.

“Aku Berada Dalam Tangan Yang Aku Cintai”

Tak mahu cerita banyak,

Enjoy!






Cerpen: Aku Berada Dalam Tangan Yang Aku Cintai.

Matanya terbuka. Berkelip-kelip sebentar. Siling menghiasi tubir matanya. Bulan pertama berlalu. Lengkap sudah 31 hari dia bergelar pasangan orang. Dia mengingatinya, kerana semalam sebelum tidur, dia terfikir akan waktu-waktu yang telah berlalu.

Tangannya bergerak-gerak merasai separuh selimut di sebelahnya. Apa yang dicarinya, tiada. Digerakkan kepalanya ke kanan. Kawasan katil itu kosong.

Dia mengangkat kepalanya sedikit.

Di satu sudut, agak terjarak sedikit daripada katil, kelihatan sesusuk tubuh sedang ruku’, kemudian berdiri sebentar, sebelum turun ke paras yang lebih bawah dari yang mampu dilihat dari atas katil. Dia yang memandang, pasti tubuh tadi itu sedang sujud.

Dia tersenyum. Menggeleng sebentar. Segera dia bangun dari pembaringan. Azan berkumandang. Waktu Subuh sudah masuk. Terhenti dia seketika mendengar seruan suci tersebut.


“Assalamu’alaikum sweetheart.” Satu suara menerjah gegendang telinga, di tengah-tengah sayup azan. Membuatkan dia menoleh. Tersenyum kelat.

“Waalaikumussalam, honey.” Tertunduk sebentar. “Maaf, tak join.”

“Naa, no biggie. Well, care to join me in Subuh?” Dagunya diangkat dengan lembut oleh jemari lelaki di hadapannya yang tersusun. Mata mereka bertentangan. Lelaki itu mengangkat kening dua kali. Bibirnya langsung terkoyak mengeluarkan senyuman.

“Sure.”

“Pergi mandi dulu.” Dan tangan yang berada di dagu itu, menyentuh lembut pipinya.

Dia mengangguk perlahan, dengan senyumannya yang berkekalan. Kemudian dia bergerak meninggalkan lelaki tersebut.

Itulah suaminya. Rafiqi Rasyidi. Tidak berapa dikenalinya, kerana hubungan mereka banyak atas susunan keluarga. Seribu satu perasaan yang menyerbu dirinya, apabila dia mengetahui bahawa dia akan dikahwinkan dengan seseorang yang bergelar ‘Kepercayaan Ayah’.

Ayah adalah seorang yang soleh. Taat pada agama. Ketua kumpulan usrah yang amat berdedikasi dalam organisasinya. Suaminya adalah salah seorang daripada anak usrah ayahnya. Walaupun begitu, dia tidak mengenali suaminya kerana dia bukanlah seperti ayahnya. Dia tidak berapa rajin mengikuti usrah. Padanya, cukuplah dia tahu bagaimana untuk solat, cukuplah dia mengetahui bagaimana menutup aurat, cukuplah dia Islam cukup syarat, maka tidak perlu untuknya pening-pening atas perkara lain.

Jadi, berkahwin dengan seseorang yang didengarinya sebagai ‘Kepercayaan Ayah’, dia sebenarnya diserangi seribu satu asumsi. Risau lelaki itu akan terlalu keras kepadanya dalam menjaga agama. Risau lelaki itu akan menyuruhnya mengikuti usrah-usrah. Risau lelaki itu akan memberat-beratkannya. Rasa tidak padan pun ada. Siapalah dia. Biasa-biasa sahaja. Kalau nak dikatakan berfikrah, tak adalah sangat. Faham Islam pun cukup-cukuplah untuk makan. Takut nanti dirasakan menyusahkan lelaki se’kamil’ itu pula. Dan dia amat tahu, dia tidak akan mampu menjadi sesempurna lelaki itu.

Dia pun tidak faham, apalah yang pentingnya proses tarbiyah yang sering didengarinya daripada Ayah dan Ibu. Cuma dia perasan, kehidupan mereka banyak berubah ketika dia berumur 15 tahun. Ayah dan Ibu macam jadi lebih ‘alim’, lebih ‘menjaga’. Tetapi taklah terlalu ortodoks. Namun dia dapat melihat perbezaannya. Ayah macam menjadi lebih ‘faham’ akan Islam dalam bentuk yang lebih ‘praktikal’. Dan Ayah menjadi sangat komited dengan organisasi yang diikutinya. Hingga Ayah terpilih menjadi salah seorang penjaga usrah dalam organisasi tersebut. Apa namanya? HALUAN? Dia juga tak berapa perasan.

Dia? Dia tak berapa tertarik dengan perkara-perkara sebegitu. Padanya, kompleks. Padanya, itu semua sekadar ‘tambahan’. Cukuplah dengan Islam yang dia faham. Dia bukannya buat perkara haram, bukan? Jadi dia tak berfikir sangat ke arah mengikuti proses-proses tersebut.

Tetapi, dalam keserabutannya memikirkan semua itu, dia akhirnya bersetuju juga. Itupun, kerana Ibunya terlalu berhajat sangat dia berkahwin dengan lelaki itu. Pasrah sahaja.

Namun selepas sebulan menjadi isteri kepada lelaki itu, semua sangkaannya hilang begitu sahaja. Bahkan, dia merasakan dirinya amat bertuah. Rafiqi adalah seorang yang amat sederhana, soleh, dan tidaklah seperti yang disangkakan sebelumnya. Lelaki itu tidak pun menyentuh apa-apa hal berkenaan pergi usrah, atau tahap kefahaman Islam, atau kekuatan melaksanakan hal-hal sunat. Lelaki itu banyak berbicara perkara ‘normal’ sahaja dengannya. Hingga kadangkala, kagum merayap ke dalam jiwanya.

Sangkanya, lelaki sedemikian, keras dalam menjadikan pasangannya ‘kamil’.

Dia gila-gila, Rafiqi seorang yang neutral.

Dia senang terasa, Rafiqi pula berpada-pada.

Dia agak keanak-anakan, Rafiqi pula jelas kematangannya.

Tetapi Rafiqi, sederhana. Sabar dengan kerenahnya. Banyak mengikuti rentaknya.

Hingga dia sendiri, sering terpana.

Senyuman tadi tidak pergi lagi. Walau dia sudah melangkah masuk ke dalam bilik air. Menggeleng sebentar, sebelum pintu ditutup. Sempat memandang Rafiqi yang berada di sinki sebelah bilik air, mengambil wudhu’ yang terbatal kerana menyentuhnya tadi.

“What? Anything funny?” Suara Rafiqi menariknya semula.

Matanya terkelip-kelip. Aiseh, kantoi usha anak orang. Hihi.

“Nothing.” Dan senyumannya meleret kekal. Pintu bilik air ditutup.

******