by Hilal Asyraf.
Jul 9th, 2011
Pelangi selepas hujan lebat. ~ Picture by http://erbphotography.deviantart.com
Tak nak cakap apa-apa sangat.
Saya hanya mampu tersenyum sahaja bila tulis cerpen ini.
Yang saya hanya nak cakap sekarang ini adalah:
ENJOY!
Kalau yang keluar dari tangisan adalah air mata, yang keluar dari kehidupanku adalah hujan derita. Kesukaran, cabaran, halangan, dugaan dan segala macam ujian ibarat kembar siam kepada kehidupanku ini. Hari-hari aku perlu menguatkan diri, agar mampu menempuhi.
Aku sukar untuk mengalirkan air mata, walau pada saat yang paling derita. Tetapi air mata itu berubah menjadi hujan di dalam jiwa. Dan di dalam dunia itu, aku sentiasa dibasahinya. Gelap tanpa mentari. Suram tanpa pelangi.
Aku kadangkala berfikir, apakah mungkin aku akan melihat warna-warni di langit jiwaku ini?
Tidak pasti.
Tetapi setelah letih dengan segala derita, penat dengan segala ujian, aku mula mempunyai satu matlamat yang baru kini. Itulah dia untuk mengejar bahagia, mencari pelangi buat diri.
******
Abang dan adik. Jika bergaduh, norma masyarakat akan terus meletakkan kesalahan pada diri si abang. Kononnya abang perlu lebih bertanggungjawab. Abang perlu lebih bersabar. Abang perlu pandai beralah dan sebagainya.
Anak dan Ibu bapa. Jika berlaku pertelingkahan, norma masyarakat akan terus menyalahkan si anak. Kononnya anak perlu taat kepada ibu bapa. Anak yang melawan ibu bapa adalah anak derhaka. Ibu bapa adalah suci dan wajib dipatuhi walau apa jua yang terjadi, dan sebagainya.
Aku adalah yang tersepit di dalam kedua-dua situasi.
Abang dan adik. Anak dan Ibu Bapa.
“Aiman perlu dapat yang terbaik di dalam peperiksaan. Studi rajin-rajin. Jangan main.” Tegas Ibu Bapaku.
“Kenapa Amirul boleh main? Keluar pergi rumah kawan dan balik sampai lewat malam?” Pertanyaan, untuk diberikan kefahaman.
Tetapi dijawab dengan lempangan dan tamparan. “Ikut cakap Ibu dan Ayah, jangan menderhaka!”
Walaupun tuntutannya hanyalah dibenarkan dia bermain permainan video dan komputer kegemarannya dengan lebih lama. Itu padanya tuntutan yang logik, memandangkan dia merupakan pelajar cemerlang, ditambah pula dia bermain permainan video dan komputer itu di rumah. Mudah untuk dia membantu kedua-dua ibu bapanya jika ada sesuatu.
Namun bila diutarakan, dia hanya akan diherdik tengking.
Anak derhaka. Anak derhaka. Itulah yang ditakut-takutkan kepadanya.
Adiknya pula adalah yang tidak menggunakan otak untuk berfikir. Tidak memahami bahawa diri ini sudah cukup tertekan, ada sahaja taktiknya untuk menyimbah petrol pada api kemarahan yang cuba dijaga agar tidak marak.
“Amirul, baju tu masuklah dalam. Kan peraturan sekolah.” Dia, sebagai pengawas mengingatkan adiknya.
“Ah, biarlah!” Tubuhnya ditolak kasar. Tidak cukup dengan itu, jeliran lidah pula diberikan kepadanya sebelum adik bertuahnya itu berlalu pergi ke kantin sekolah.
Seorang lagi pelajar yang bajunya tidak masuk ke dalam melepasinya. Pantas dia bersuara.
“Yusri, baju masuk dalam.”
Pelajar itu berpaling. “Hoi, adik kau pun baju tak masuk dalam. Kau nak tegur-tegur aku apa fasal?”
Dan hari itu dia pulang ke rumah dengan penuh kebengangan. Diadukan kepada Ibu Bapanya.
“Nanti Abah tengokkan.”
“Nanti Ummi tegurlah dia.”
Jawapan yang nyata tidak diikuti dengan tindakan.
Petang yang permai itu, Amirul tidak keluar seperti biasa. Dia pula khusyuk bermain permainan videonya. Tiba-tiba televisyen terpadam. Kelihatan Amirul di sebelah televisyen dengan wayar di tangan.
“Ops.” Sengih jahat.
Matanya membesar.
“Hoi, dah jauh aku main tu. Tak save lagi!”
“Padan muka!” Jelir lidah.
“Kurang ajar!” Dan ibarat gunung berapi yang meletus, dia menerkam Amirul. Tidak sempat bereaksi, Amirul terlentang dan dia kini berada di atas adiknya itu.
“Kau, apa fasal kau perangai macam ini hah?” Dia meninggikan suaranya setinggi-tinggi mungkin.
“Siapa yang nak jadi samseng kat rumah ni?” Satu lagi suara menyabung seperti halilintar. Bergema rumah dua tingkat itu dengan akibat suara dari tingkat bawah tersebut.
Dia berkerut dahi. Dia melihat wajah Amirul. Adiknya itu tersengih sahaja.
Dan sebagaimana yang dia jangka, Ibu dan Ayahnya naik.
“Aiman!”
Selepas itu, tamparan dari Ayahnya, tengkingan dari Ibunya, dan pandangan jahat daripada adiknya, cukup untuk membuatkan dia mengunci diri di dalam bilik dan tidak keluar untuk waktu yang lama.
“Aiman ini hafal Al-Quran, boleh jadi imam, pengawas, cemerlang dalam belajar, orang hormat keluarga ini sebab Aiman, dan Ibu Ayah boleh menangkan segala-galanya pada Amirul?”
“Kamu itu Abang. Abang kena banyak mengalah.”
“Abang boleh mengalah, tetapi Si Abang pun perlu diadili dengan baik. Ibu Ayah ingat Aiman ini robot? Tak ada jiwa?”
“Kurang ajar!” Dan tamparan itu berbekas pada pipinya.
Dia mengusap pipinya itu. Kemudian sebelah tangannya itu menemani sebelah tangannya yang lain, memeluk betis sekuat-kuatnya. Air matanya tidak mengalir ketika itu. Tetapi dia dapat merasakan hujan lebat yang turun membanjirkan jiwany dengan bah kesedihan.
*******
Dia membesar. Di rumah kehidupannya adalah begitu. Membuatkan rumah tidak menjadi rumah buatnya. Rumah bukan kesenangan untuknya. Dia seperti tidak mempunyai Ibu dan Ayah, dia seperti seseorang yang duduk di rumah orang asing. Sekolah juga, bukanlah tempat yang seratus peratus menyenangkan disebabkan kehadiran Amirul di sana yang banyak merosakkan ketenangannya. Dia seperti telah kehilangan kegembiraan tumbesarannya.
Tetapi hafalan Al-Qurannya, pengetahuannya berkenaan hadith-hadith Rasulullah SAW, ditambah pula dengan dirinya yang mengikuti usrah dan sering duduk-duduk dengan para veteran di sekolahnya, dia meneruskan kehidupan. Veteran-veteran di sekolahnya banyak menjadi penenang jiwanya.
Sentiasa memujuk diri untuk sabar. Sentiasa membakar semangat diri untuk berusaha yakin dan percaya.
Namun hidupnya seperti berkembar siam dengan ujian. Ujian tidak melepaskannya walau di mana dia berada.
Anak murid dengan guru. Jika berlaku pertentangan antara dua pendapat, maka norma masyarakat sentiasa memenangkan pendapat guru. Bukan kerana guru itu betul, tetapi hanya kerana guru itu adalah guru. Anak murid kononnya perlu tunduk, jika tidak ilmu yang dipelajarinya adalah tidak berkat.
Jelas perkara ini dalam kehidupannya, apabila dia dipersalahkan oleh gurunya hanya kerana dia menegur pentadbiran sekolah yang terlalu menekan pelajar dengan tuisyen. Juga kerana dia membangkitkan mengapa para pengawas banyak ditindas, semata-mata kerana hendak menjaga hati pelajar-pelajar bermasalah.
“Hujung minggu, dihabiskan dengan tuisyen sahaja. Sedangkan para pelajar sudah berhempas pulas ke sekolah lima hari seminggu. Sepatutnya diberikan masa, agar dapat mereka berehat dan melakukan apa yang dirasakan menenangkan mereka pada hujung minggu. Saya berpendapat, kecemerlangan akademik itu bukan segala-galanya.”
Semua gurunya, baik lelaki atau perempuan, terdiam apabila dia mengutarakan perkara itu. Tuisyen adalah projek sekolah yang dikatakan untuk mencemerlangkan pelajar, meningkatkan prestasi akademik sekolah. Namun di satu sisi yang lain, kelihatannya perkara itu telah menumbangkan tujuan utama sekolahnya ini ditubuhkan: Untuk melahirkan hamba Allah SWT yang baik. Bacaan Al-Quran pada hujung minggu dihapuskan, riadhah hujung minggu juga dihapuskan, dan kokurikulum untuk pelajar tahun peperiksaan tidak dibenarkan. Semuanya untuk akademik, sedangkan lapangan-lapangan itu adalah penting untuk mengekalkan kewarasan seorang pelajar.
“Kadang-kadang itu, saya merasakan bahawa, kita terlalu teruja untuk menaikkan nama sekolah, daripada menjamin masa hadapan seorang pelajar.”
“Dan, apabila kami para pengawas ada yang hingga dibelasah oleh pelajar bermasalah, sekolah mendiamkan diri. Kami tidak dibela. Tetapi apabila ada pelajar bermasalah ditangkap oleh kami, cara kami menangkap akan dipersoalkan terlebih dahulu sekaligus mengabui mengapa kami menangkap pelajar itu.”
Dan bicaranya itu membuatkan dia menerima pandangan negatif daripada guru-gurunya. Keberaniannya itu dipanggil sebagai kurang ajar. Guru-guru terus membantainya di perhimpunan dengan kata-kata yang seakan-akan menyatakan bahawa dia adalah pelajar yang biadab.
Lebih memburukkan keadaan dan menyakitkan pula jiwanya, Ibu dan Ayahnya telah mengadukan ‘kebiadapan’nya di rumah kepada Guru-gurunya. Lantas itu semua menjadi senjata utama guru-guru untuk mendiamkannya.
“Anak yang kurang ajar dengan kedua-dua ibu bapanya, kini mula untuk biadap dengan guru-gurunya.”
Lantas dia menjadi seorang yang tidak disenangi. Keberaniannya, kesungguhannya, dianggap sebagai ancaman. Lebih menyedihkan, rakan-rakannya yang selama ini merungut berkenaan tuisyen, juga rakan-rakan pengawasnya yang merungut atas apa yang terjadi kepada mereka selama ini, tidak pula menyebelahinya kini.
“Sanggup kau kurang ajar dengan cikgu-cikgu.”
Kurang ajar?
Aku berkasarkah? Tidak. Aku pergi membuat pembentangan dengan cara yang terhormat.
Dan bukankah aku mempertahankan kalian sebenarnya?
Itulah di dalam pemikirannya. Dan gerimis di dalam jiwanya mula turun renyai. Sebelum berubah menjadi lebat, mengundang kelam di dalam jiwanya. Autoriti yang lebih tinggi, walaupun salah dan melakukan kezaliman, tidak akan dipandang buruk oleh norma masyarakat. Bahkan, masyarakat lebih sanggup terseksa dan dizalimi, dari bangkit membawa kebenaran.
Kecuali beberapa orang guru veteran yang benar-benar bersamanya, yang lain semuanya melukakan jiwanya.
*******
Masuk universiti. Tinggal di rumah sewa. Mungkin jauh dari rumah yang pelbagai ragamnya. Mungkin telah meninggalkan sekolah yang banyak kerenahnya. Tetapi dia tidak pernah mampu meninggalkan ujian yang melingkarinya.
Manusia yang dilihat mempunyai kefahaman agama, mengajak kepada disiplin, dan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik, dengan manusia yang tidak mahu membumikan agama, rasa ralat dengan disiplin dan tidak berbuat apa-apa untuk menjadi baik. Apabila sesuatu berlaku di antara dua golongan ini, masyarakat biasanya akan memenangkan pihak yang kedua. Dikatakan mereka itu lebih lemah, sedang yang memahami agama itu lebih kuat. Akan dikatakan bahawa yang mengajak kepada disiplin itu terlalu keras, sedangkan pihak kedua hanya inginkan kebebasan. Akan ditohmah orang yang berusaha menjadi yang terbaik ini 1001 tohmahan, manakala pihak kedua dibela hanya kerana mereka diktakan tidak mengetahui apa-apa.
Tidak betah dengan kekotoran, dia rajin membersihkan rumah. Buang sampah. Cuci pinggan mangkuk. Sampu kotoran di karpet. Basuh bilik mandi dan bilik air. Tetapi dia juga manusia. Hari-hari melakukan semua itu, keletihan juga akhirnya.
Diminta sahabat-sahabat serumah membantu.
Tetapi apa jawapannya? “Malaslah. Rileklah weh, kita kan bujang. Macam rumah orang bujang la.”
Jawapan itu mengecewakannya. Tetapi tidak mengapa. Diteruskan kerja-kerjanya. Belajar sama macam ahli rumahnya juga. Ditambah pula dengan kehidupannya yang mempunyai banyak ‘hal tambahan’ seperti usrah, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah, hal-hal persatuan dan sebagainya. Agak berat, namun dia teruskan.
Tetapi makin hari, makin teruk ketidak pedulian rakan-rakan serumahnya. Kalau dulu pandai jugalah basuh pinggan sendiri. Tetapi sekarang sudah tidak. Kalau dulu pandai jugalah buka plastik sampah baru kalau tong sampah penuh, sekarang tidak lagi seperti itu. Sampah sampai termuntah keluar. Duit rumah juga sudah tidak pasti lagi digunakan ke mana dan untuk apa. Kadangkala sampai barangan dapur itu, dia terpaksa keluarkan duit sendiri.
Maka dia memberikan teguran. Tetapi dia dibalas dengan reaksi yang sangat-sangat tidak menyenangkan. Dia dimarahi kerana kononnya tegurannya membuatkan rakan-rakannya terasa. Dia hairan. Sepanjang waktu ini, dia tidak terasakah dengan apa yang berlaku?
Bagaimana pula dengan kertas-kertas yang ditampal seperti: Tolong basuh pinggan sendiri, tolong jangan buang sampah di dalam ini jika penuh, yang dikoyakkan oleh rakan-rakannya? Itu tidak terasa? Tidak terlukakah hatinya? Sudahlah dia yang membersihkan rumah, dia hendak lakukan program di rumah pun tidak dibenarkan.
“Kau jangan ajak kawan-kawan alim kau tu datang qiamullail kat rumah ni. Aku tak suka.”
“Ha’ah la. Kitorang terganggu la. Baca Al-Quran pagi-pagi. Hujung minggulah masa nak tidur sampai matahari naik.”
Kejutan Subuhnya ditengking, hendak mengimarahkan rumah dengan kebaikan pun dimarahi.
Dan akhirnya rumah sewa itu juga seperti neraka gayanya.
Tidak cukup dengan itu, datang beberapa rakan-rakannya yang lain menegur dirinya. Dia dikatakan tidak memahami perasaan ahli rumahnya. Dia dikatakan tidak lemah lembut. Dia dikatakan terlalu tegas dan sebagainya.
Dia terfikir dalam kehairanan. Benarkah? Orang lihatkah apa yang berlaku? Atau orang sekadar percaya apa yang rakan-rakan rumahnya ceritakan?
“Kau ni orang yang faham agama, patutnya kau lagi tabah dan kuat.”
Tetapi aku juga ada hati dan jiwa. Tidakkah kau mengetahui? Dan apa yang aku telah lakukan sebenarnya hingga kelihatan seperti pengganas nombor satu dunia? Dia ingin menjerit begitu sebenarnya.
Hatinya luka. Benar-benar terluka.
Dia melalui hari-hari universitinya dengan tabah dua tahun awal itu, dengan ahli rumah yang demikian. Hari-hari jiwanya seperti ditusuk sembilu. Kalbunya seperti ditarah-tarah dengan pisau yang tumpul, menyebabkan ianya lebih menyakitkan.
Hujan lebat tidak berhenti turun di dalam jiwanya.
Dan begitulah dia, mengharungi segala-gala.
*******
Dua tahun selepas itu, dia berpindah rumah sewa. Kali ini duduk dengan rakan-rakan yang sama-sama menjalani proses dakwah dan tarbiyah sepertinya. Dia mempunyai harapan yang menggunung tinggi. Mengharapkan rumah itu mampu menjadi teratak tarbiyah yang membantu dirinya diproses dengan lebih baik lagi.
Tetapi nyata, ujian tetap tidak meninggalkannya.
Rakan-rakan serumahnya kini sama sahaja dengan rakan-rakan serumahnya yang dahulu. Tinggal bezanya adalah, mereka menjalani proses tarbiyah dan rakan-rakan serumahnya yang dahulu tidak. Dan ini lebih melukakan jiwanya.
“Kita ini kena ada tamayyuz. Kita kan orang yang lalui proses dakwah dan tarbiyah? Ini rumah pun kotor, macam mana ni?”
Itulah yang disuarakannya. Sekaligus menjemput mata-mata kurang senang daripada rakan-rakan serumahnya. Dia tambah menjadi yang amat tidak disenangi, apabila dia rajin melakukan kerja-kerja rumah.
Hingga ada seorang sahabat serumahnya menegur.
“Rilek-rilek la. Kita kan bujang?”
Dia hairan. Dia lantas menjawab, “Kita bujang beriman. Bukan bujang biasa. Kita ikut proses tarbiyah, patut ada tamayyuz, kelainan.”
Dan akhirnya, sama sahaja seperti rumah yang sebelumnya, dia hidup menderita begitu sahaja. Lebih menyakitkan hati, sekiranya dia membeli sesuatu, contohnya buah tembikai, dan diletakkanj di peti ais, rakan-rakannya akan mengambil dan menjamahnya tanpa kebenaran.
“Kata sahabat.” Itu jawapan yang didengarinya apabila bertanya, mengapa makan tanpa kebenaran.
Tetapi apabila sahabat-sahabatnya ada membeli sesuatu, baru sahaja dia meminta izin hendak menggunakannya, atau menjamahnya, dia akan diherdik, dan menerima wajah yang kurang menyenangkan.
“Itu ana beli la. Enta tak malu ke minta?”
Dia melalui hari-hari penuh pahit itu, sambil kekal berusaha untuk percaya. Percaya bahawa pelangi itu masih wujud untuk manusia sepertinya. Walau kini, hujan lebat terus menghujani jiwanya.
*******
Di manakah pelangiku?
Satu hari dia bertanya selepas mengharungi kehidupan yang meletihkan. Dia kini sudah mempunyai tunang dan tidak lama lagi mereka akan berkahwin. Tetapi di dalam hubungan mereka itu juga wujud pelbagai mehnah dan tribulasi. Fitnah di sana sini. Salah faham itu dan ini.
Ramai yang menyangka, pelangi manusia itu selepas mereka bertemu bidadari idaman mereka. Dia hari ini dapat merasakan itu semua adalah silap segalanya.
Dia menggaru kepala hari ini.
Mengangkat sebelah tangan, membilang dengan lima jemari. Lima kali jari-jemari itu turun dan naik semuanya.
“25 tahun dah aku ni.” Dia tersengih. Maka di mana pelanginya?
Di tempat kerjanya, di dalam karier yang dia minati, juga wujud kesukaran dan kepayahan. Dia banyak menjadi mangsa. Dia mungkin tidak menangis. Tetapi dia tahu, dia ‘menangis’ di dalam jiwanya.
Di manakah pelanginya?
Tiba-tiba bahunya ditepuk. Dia mengangkat kepala. Hafizul. Sahabat karibnya semenjak sekolah menengah. Boleh dikatakan satu-satunya manusia yang tidak mempunyai hubungan darah dengannya, yang memahaminya dan mengasihinya.
“Apa termenung sambil bilang-bilang dengan jari ni Man? Tak sabar nak kahwin?” Hafizul mengoyak bibir dengan senyuman.
Dia tersenyum sendiri mendengar soalan itu. “Lagi cepat kahwin lagi baik Zul. Aku tak tahu la selamat tak selamat hubungan aku ni. Macam berjalan bawah hujan api sahaja.”
Hafizul tertawa. “Rilek la. Yang curahkan hujan api itu semua budak-budak. Tak faham apa-apa. Kalau kau betul macam apa yang mereka tuduh-tuduh dan buat-buat cerita tu, sah-sah aku orang pertama tinggalkan kau.” Merujuk kepada yang banyak menimbulkan fitnah dan salah faham.
Senyumannya melebar.
“Sabar la. Sebulan je lagi.” Hafizul memaut lehernya.
Dia mencemikkan muka. “Ceh, dah kahwin boleh la cakap.”
Hafizul tertawa senang. “Aku rasa kan, kau bukan sedih sebab kau bermasalah sekarang ni. Aku rasa, masalah tu macam dah jadi minuman harian kau je. Kau sedih sebab lain ni. Betul?”
Dia terjeda. Dalam sungguh pemerhatian sahabatnya itu. Mata mereka bertemu.
“Aku sedih sebab aku macam tahu yang nanti lepas kahwin, aku akan ada masalah lagi. Bila aku ada anak, aku akan ada masalah lagi. Karier aku pun, lepas satu masalah selesai, akan datang masalah lain pula. Sepanjang hidup ini, masalah tak pernah tinggalkan aku. Aku mula rasa, sampai mati pun aku perlu berjuang dengan masalah.”
“Jadi, kau sedih sebab kau rasa masalah tak tinggalkan kau?”
Dia mengangguk.
“Aku masih belum berjumpa dengan pelangi aku.”
Hafizul melepaskan pautannya. Dia perlahan-lahan melihat wajah Hafizul yang masih bersinar.
“Kau pernah tak rasa bahagia? Atau, tiba-tiba rasa bersemangat dan rasa kuat untuk harungi cabaran?”
“Pernah.”
“Itulah pelangi kau.”
Eh? Keningnya terangkat.
“Kau pernah cerita kat aku, yang setiap kali kau menderita, jiwa kau seakan-akan akan ditimpa hujan lebat. Betul?”
Mengangguk.
“Tetapi aku yakin, hujan kau itu ada masa berhenti juga, betul?”
Mengangguk lagi. Ya, masa dia mengadu kepada Allah SWT. Masa dia seakan-akan dipujuk dengan Al-Quran. Masa ketika dia duduk-duduk bersama murabbi-murabbinya yang memahami. Semasa dia bersama-sama manusia seperti Hafizul.
“Bukankah hujan itu terhenti, kerana kau ‘bahagia’ ketika itu?”
Matanya membesar. Jiwanya terasa seperti dipeluk sesuatu yang sejuk.
“Bukankah ketika itu, apa-apa yang membahagiakan engkau ketika itu, merupakan ‘cahaya’, dan membiaskan pelangi untuk diri engkau?” Hafizul tertawa lagi. Seakan-akan dia sendiri melihat ‘pelangi’ itu.
Ketika ini, di dalam jiwanya, Aiman dapat merasakan yang hujan telah berhenti. Cahaya daripada Hafizul menerjah, membiaskan pelangi di dalam diri.
Air matanya perlahan-lahan mengalir.
Hafizul terus memeluknya. “Sahabat, penderitaan, cabaran, kesukaran, mehnah dan tribulasi itu takkan terhenti. Kecuali selepas mati. Sebab itu, ada orang mempercepatkan kematian mereka dengan membunuh diri. Tetapi itu adalah manusia-manusia yang berputus asa kepada Allah SWT. Manakala kita yang beriman ini, kita tabah, cekal, hingga ke akhirnya. Maka jadikanlah momen-momen indah kita, walaupun sedikit, sebagai ‘matahari’, yang akan membiaskan pelangi dari hujan penderitaan kita.”
Kemudian dia dijarakkan perlahan-lahan.
“Dan sahabat, di syurga, sekiranya kita berjaya mati dalam keadaan kekal bertahan dan percaya kepadaNya, tiada lagi hujan lebat untuk jiwamu di sana.” Air mata yang mengalir pada pipinya diseka perlahan oleh Hafizul.
“Itu pelangi untuk engkau yang sebenar-benarnya. Syurga adalah ‘matahari’nya.”
Hafizul memeluk betis, memandang keluar rumah. Dia akhirnya melakukan perkara yang sama. Melandaskan dagunya pada lutut.
“Nanti di sana Aiman, kau akan lupa segala deritamu selama ini. Hujan lebat itu takkan terasa, bila pelangi muncul selepas turunnya ia.”
Dia mengangguk perlahan.
Segala apa yang telah dia lalui, segala apa yang akan pula dia tempuhi, dia kini berazam untuk mengharungi dengan sepenuh kekuatan dan percaya. Saat ini, pelangi sementara muncul untuknya.
Dan dia masih di dalam perjalanan, untuk mengejar pelangi hakiki yang menantinya di ‘sana’.
“Terima kasih Hafizul. Kau nyata matahari aku.”
Hafizul tertawa senang. “Kau selama ini matahari aku juga.”
******
Dan Aku akhirnya sedar. Bahawa pelangi yang aku cari itu sebenarnya tiada di dunia.
Tetapi hanya ada di akhirat sana.
Maka aku perlu tabah dan kekal percaya kepadaNya. Mengharungi segala dugaan dengan setabahnya. Menyelesaikan segala permasalahan sesabarnya.
Biar nanti aku sampai ke syurga.
Dan menikmati pelangi hakikiku di sana.
© Langitilahi.com
Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan bahan-bahan yang terdapat di sini, namun alamat langitilahi.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa kebenaran pihak langitilahi.com terlebih dahulu
Mari Menjadi Hamba
No comments:
Post a Comment