Inspirasi watak utama cerpen ini. hihi. ~ Picture by FF-XIInet of Deviant Art.
“Yang kita perlukan, adalah menyahut panggilanNya itu. Dan percaya.”
Cerpen terbaru daripada saya,
“Dia memanggilku, untuk memanggilNya.”
Enjoy!
Suasana hari ini damai. Tenang. Padang rumput yang luas, bersama kewujudan beberapa pokok hijau yang merimbun indah, menyempurnakan lagi keadaan di sini. Ketika ini, kelihatan di udara dua pasang burung terbang pulang ke sarang mereka, yang terdapat pada sebatang pokok. Bunyi kicauan pasangan burung itu, membuatkan seorang lelaki yang sedang berteduh di bawah pokok mengangkat wajahnya.
Rambutnya agak panjang, tetapi kemas. Wajahnya cerah, dan matanya bersinar. Berpakaian serba hitam, dengan tangan bersilang di dada bersama kaki yang melunjur di atas hamparan rumput. Perlahan-lahan kepalanya menunduk semula, hingga separuh wajahnya hampir tertutup dengan kolar jaketnya yang agak tinggi.
“Haaah.” Dia memejamkan mata.
Mungkin kicauan burung tadi menganggu rehatnya.
“Tuanku! Tuanku!”
Dan jeritan itu mengundang kerut dahinya. Perlahan-lahan matanya dibuka. Haa….
Seorang lelaki berpakaian tentera lengkap dengan selaras senjata di pinggang sedang berlari mendapatkannya. Sebaik sahaja tentera itu tiba di hadapannya, tentera itu membongkok dan menongkat tubuh dengan kedua-dua tangannya di lutut. Dapat dilihat dada lelaki itu turun naik. Termengah-mengah berusaha mengatur semula pernafasannya.
Dia kenal tentera itu. Tentera itu adalah antara tentera yang rapat dengannya. Satu-satunya manusia yang tahu akan di mana dia senang menyembunyikan dirinya.
Dia perlahan-lahan bangun. Tanpa menunggu tentera itu bersuara, dia terus bergerak meninggalkan pokok tersebut. Tentera yang sedang mengambil nafas untuk berbicara, menoleh ke arah lelaki yang dipanggil Tuanku itu.
“Tuanku? Apa yang tuanku lakukan di sini? Tentera musuh semakin menghampiri. Kami perlukan tuanku! Mengapa tuanku berlari menyembunyikan diri?”
Langkahannya terhenti membelakangkan tentera itu.
“Bukankah ayahandaku ada? Bukankah kekandaku ada?” Dia bersuara. Dingin. Tanpa berpaling.
“Tuanku, tetapi tuanku punya kelebihan pemberian Tuhan. Mengapa mesti melarikan diri ketika kami memerlukan?”
“Aku lemah, aku banyak kecacatan. Aku tidak mampu memimpin kalian. Kau juga tahu, bagaimana keadaanku.” Lelaki itu kembali melangkah. Jarak antaranya dan pokok tersebut semakin bertambah.
“Ayahanda dan kekanda lebih baik.”
“Tetapi mereka telah tewas dalam menghalang Tentera Utopia menghampiri Regalia! Jika tidak, saya tidak akan berada di sini memanggil tuanku. Tuanku, tentera Utopia sudah semakin hampir dengan kita!”
Dia kekal melangkah. Dua tangannya masuk ke dalam poket seluar.
“Pergi, aku bukanlah orang yang layak menerima tanggungjawab ini. Beritahu Ayahdanda dan kekanda, jangan berputus asa.” Dan dia semakin jauh.
“Tuanku Narsil! Maka bukankah tuanku adalah seorang yang berputus asa?!” Tentera itu melaung, seraya lelaki tersebut menjauh.
Lelaki itu melepaskan keluhan. Tangan kanan keluar daripada saku, diangkat, dan melambai tanpa memandang ke belakang.
“Namaku adalah Rafayel.”
Tentera itu terjelepuk.
Kecewa.
Nyata, Raja Muda Narsil belum pulih daripada trauma hari lamanya.
Yang menyebabkan dia berpaling, memilih untuk duduk berdiam diri sahaja.
*****
Dia dikurniakan pelbagai kelebihan. Dia adalah seorang yang teramat genius. Juga seorang yang mempunyai rupa. Tidak cukup dengan itu, dia adalah seorang yang hebat seni tempurnya. Mempunyai darah yang istimewa. Daripada keturunan Anar dan Isil, dia adalah satu-satunya yang terpilih daripada keluarganya mewarisi satu kuasa lagenda yang istimewa.
Kuasa lagenda yang diwarisinya itu memampukannya mengeluarkan seribu senjata daripada dimensi yang tidak mampu ditembusi manusia. Senjata-senjata itu selain mampu digunakan olehnya untuk menyerang, juga mampu menjadi perisai buat dirinya. Dengan darah yang diwarisinya itu juga, dia mempunyai kuasa telekinesis bagi menggerak dan mengawal semua senjatanya tersebut tanpa sentuhan. Kuasa lagenda ini, membuatkan dirinya hampir sahaja kebal dari segala serangan.
Lantaran itu, dia mendapat gelaran Narsil. Gelaran istimewa yang dikurniakan pada setiap penerima kuasa lagenda tersebut dalam keturunan Anar dan Isil. Datang daripada nar yang bermaksud api, dan thil yang bermaksud cahaya putih, dia adalah apa yang dikatakan sebagai harapan masa hadapan buat kerajaannya. Hinggakan nama sebenarnya, Rafayel, jarang disebut dalam kehidupannya.
Keistimewaannya yang disedari seawal usia 5 tahun, membuatkan dia terus dididik dengan ketat oleh Ayahandanya, Raja Regulus. Guru-gurunya juga terdiri dari kalangan wazir-wazir diRaja yang berpengalaman, mendidiknya dengan tegas dan keras. Hasilnya, dia membesar menjadi seorang yang sangat matang melangkaui umurnya yang sebenar.
Pada umur 15 tahun, dia sudah menjadi antara Panglima Kerajaan Regalia. Pada usia 18 tahun, dia menjadi Ketua Panglima Kerajaan Regalia. Dia dikenali hampir di seluruh pelusuk dunia, sebagai manusia yang terhebat di dunia. Dia disegani kawan, dia digeruni lawan, pada usia yang dikatakan masih hijau.
Namun kehidupannya yang serba istimewa itu sunyi. Dia membesar tanpa sahabat yang benar-benar mampu menjadi sahabatnya. Segala masalah yang wujud di dalam kehidupannya, semuanya adalah masalah yang kompleks menyebabkan dia tidak punya tempat untuk mengadu. Segala idea dan idamannya, semua adalah dari kalangan yang amat abstrak, bombastik dan sukar diterima akal biasa, maka dia tidak punya rakan untuk berkongsi cita. Dia akhirnya menjadi manusia yang tidak difahami sesiapa.
Perjalanan cintanya juga tidak berapa lancar. Mempunyai hubungan dengan wanita dari golongan kebiasaan, ditambah pula dirinya yang lebih tua daripada usia, menyebabkan mereka sukar mendapat kesefahaman yang sama. Hingga kini, perkahwinannya belum berlangsung jua kerana masalah yang wujud di antara mereka.
Dan keperibadian yang besar, yang cuba ditanam secara paksa oleh manusia-manusia di sekelilingnya, ditambah pula dia tidak melalui masa kecil yang normal seperti kebiasaan manusia lainnya, membuatkan dia mempunyai peribadi yang kasar, teramat tegas, dan amat sukar memikirkan sesiapa. Justeru apabila arahannya tidak dipenuhi, atau dilaksanakan sambil lewa, atau dijalankan dengan lambat, dia akan meradang kemarahan. Dia seakan-akan hampir sahaja tidak boleh menerima kelemahan. Dia seakan-akan hanya mahukan kesempurnaan.
Lama kelamaan, dia disisihkan. Ditambah pula, kerajaan dalam keadaan yang aman. Kelebihannya seakan tidak memberikan apa-apa makna. Apatah lagi dengan peribadinya yang telah terbentuk sebegitu rupa, membuatkan dia kelihatan seperti hanya menambah kesukaran. Dia akhirnya dibenci rakyat, dilontar pelbagai tohmahan, dan hasil kebencian itu dia diselubungi pelbagai fitnah dan dugaan.
Dia yang akhirnya tersedar akan kekurangan dirinya, betapa rosaknya dirinya telah dibina, dan betapa dia memahami bahawa rakyat patut mempunyai pemimpin yang lebih baik daripada dirinya, serta sedar bahawa perempuan yang dicintai itu lebih senang jika dia adalah rakyat biasa, dia turun daripada kekuasaannya. Kakandanya, Ragnar, mengambil alih tempatnya.
Namun keadaan tidak berubah untuknya.
Dia tetap tidak disenangi. Apatah lagi dia tidak boleh merubah peribadinya dalam waktu yang singkat. Dia yang telah dibina sedari kecil sebegitu rupa, dia yang telah mempunyai akal dan pemikiran jauh melebihi usianya, tidak mampu menghilangkan semua itu. Dia mungkin boleh menghilangkan segala kemegahan kepunyaannya, tetapi ‘kemegahan-kemegahan dalaman’ yang telah menjadi darah dagingnya nyata bukanlah sesuatu yang boleh dibuang begitu sahaja.
Akhirnya dia memilih untuk memasung dirinya ke satu alam yang sunyi.
Langsung tidak memperdulikan apa-apa.
Dia lari jauh daripada manusia. Jauh daripada perempuan yang dicintainya. Jauh daripada keluarganya. Jauh daripada kerajaannya. Jauh daripada kuasanya. Jauh daripada segala tanggungjawabnya.
Dia tidak mahu memberikan masalah kepada sesiapa. Dia tidak mahu melukakan sesiapa. Dia tidak mahu membuatkan sesiapa menderita.
Dia takut akan dirinya.
Hingga dia pernah merajuk kepada Allah yang menciptanya sedemikian rupa. Sekiranya dia tidak punya keistimewaan, dia tidak akan dibesarkan demikian. Sekiranya dia tidak dibesarkan demikian, dia tidak akan mempunyai peribadi yang menyebabkan dia tidak disenangi ramai. Jika dia tidak mempunyai peribadi yang tidak disenangi ramai, pastinya sekarang dia akan bahagia, sebagaimana orang kebiasaan.
Rajuknya itu hingga membuatkan dia meninggalkan banyak perintah Allah. Hingga membuatkan dia pernah menyentuh apa yang dilarang oleh Allah. Dia merasakan, itu semua akan menjadikannya manusia biasa.
Namun sampai satu tahap, dia sedar itu juga tidak akan merubah apa-apa dalam kehidupannya. Hanya menambah keserabutan jiwanya.
Menyedari segala kekurangannya, menyedari segala kecacatannya, menyedari segala kelemahannya, menyebabkan dia merasakan lebih tidak pantas memegang apa-apa pun tanggungjawab.
Mustahil pemimpin yang rosak sepertinya, mampu membawa masyarakat ke arah kemenangan. Sejarah telah membuktikan bahawa, yang membawa kemenangan kepada ummat hanyalah orang-orang yang bersih hatinya. Seperti Rasulullah SAW, seperti Abu Bakr RA, seperti Umar RA, seperti Ali RA, seperti Sa’ad bin Abi Waqqas RA, seperti Khalid Al-Walid RA, seperti Qa’Qa’, seperti Muhammad Al-Fateh, seperti Salahuddin Al-Ayubi.
Kalau di eranya kini, adalah seperti Angkasa Sakti, seperti Aizan Fahmi, seperti Mughirah Syu’bah, seperti Arnav Satyankar dan mereka yang berjaya menumbangkan kekuasaan Sang Asura suatu ketika dahulu.
Dan manusia seperti mereka itu, yang wujud pada zaman ini, adalah kakandanya, Ragnar. Seorang yang soleh. Seorang yang sabar. Seorang yang bertolak ansur. Seorang yang disenangi ramai. Seorang yang lemah lembut. Ragnar yang membesar secara normal itu, lebih sempurna walaupun tidak mempunyai darah yang istimewa sepertinya. Sempurna sebagai manusia biasa, yang disenangi semua.
Maka bukanlah dia yang sepatutnya dipanggil untuk menyelamatkan rakyatnya.
Bukan dia.
Dia adalah yang berdosa kepada manusia, dan yang melarikan diri daripada Tuhannya.
Narsil Rafayel terus berjalan ditemani monolog diri. Kenangan-kenangan lampau datang menerjah ke dalam hati. Dia bersembunyi di bawah kain yang menyelimuti seluruh tubuhnya hingga ke kepala. Kain lebihan yang menjadi seakan kerudung penutup kepala itu, melindungi dirinya dari dikenali di tengah kekalutan Kerajaan Regalia. Dia dapat melihat kiri dan kanannya, rakyat bergerak kelam kabut berlari ke sana ke mari. Musuh sudah teramat hampir, dan bilangan mereka teramat banyak sekali.
Kerajaan Regalia dijangka tewas.
Narsil Rafayel mengeluh.
Ditutup matanya sebentar. Menggeleng.
Bukan aku. Bukan aku.
Dan dia terus berjalan, merentas kota, mencari tempat bagi merehatkan jiwanya.
******
Di atas bumbung Masjid Utama Kerajaan Regalia, dia duduk bersila. Menikmati rembulan indah penghias malam.
Dia tidak dapat mencari tempat yang lebih tenang lagi melainkan tempat ini.
Hatinya semakin kacau dan kacau. Dia tidak tahu apakah maknanya. Risau?
Haaaa… Nafas dihela.
Ke rembulan purnama dia memandang.
Sampai ke telinganya berita bahawa tentera musuh sudah membuat perkhemahan di luar benteng Kerajaan Regalia. Dia tidak perlu melihat barisan tentera musuh untuk memastikan kekuatan mereka. Dia amat kenal Kerajaan Utopia warisan Sang Asura yang tumbang seratus tahun yang lampau. Kini Kerajaan itu kembali bangkit dengan kekuatan yang tidak terduga dalam jangka masa dua-tiga tahun ini. Pergerakan yang awal-awalnya berjalan secara senyap-senyap, secara licik berjaya merapuhkan beberapa kerajaan utama dalam kekuasaan Kerajaan Bersatu Tanah Suci. Dua-tiga tahun yang lalu, mereka menubuhkan Kerajaan Utopia secara rasminya, dan kini adalah giliran Kerajaan Regalia untuk ditumbangkan, bagi melemahkan Kerajaan Bersatu Tanah Suci.
Semasa menjadi Ketua Panglima, dia pernah menyarankan agar perhatian yang lebih keras diberikan terhadap pergerakan tersebut. Namun dia dianggap radikal, muda dan berdarah panas. Maka saranannya tidak diperhatikan. Kini, hampir semua jangkaannya menjadi dengan tepat.
Apakah aku perlu benar-benar turun, Ya Rabb?
Adakah Kau benar-benar sedang memanggil aku?
HambaMu yang berlari daripadaMu ini?
Tup, tup, tup.
Bunyi yang teramat-amat lemah itu kedengaran. Malam yang teramat sunyi membuatkan telinganya yang sudah terlatih itu lebih efektif. Gegendangnya bergetar menangkap gerakan tersebut. Namun dia kekal membantu diri seakan tidak menyedari.
Dia memejamkan mata. Dalam kegelapan ciptaannya, dia seakan-akan dapat merasai haluan angin yang terganggu dengan pergerakan-pergerakan di sekelilingnya. Ada satu, dua, tiga, empat… lima belas orang, sedang berusaha mengelilinginya dengan berhati-hati.
Dan beberapa ketika kemudian, dia dapat merasakan haluan angin di sekitarnya terganggu dengan lebih dasyat. Semua penyerangnya itu sedang mara dengan kelajuan yang tinggi untuk menyerang.
Matanya terbuka.
Ketika itu juga muncul tiga puluh bilah pedang melindungi sekeliling dirinya. Menahan kesemua senjata musuh yang tadinya ditujah untuk menembusi tubuhnya.
“Raja Muda Narsil, ternyata rupanya yang sedang bersila di atas bumbung ini adalah kamu.” Salah seorang musuhnya bersuara. Gaya bicara seperti ketua kepada kumpulan tentera ini.
Dia masih dalam silaannya. Memandang kepada musuhnya yang berbicara. Bantuan daripada sinaran purnama, dia dapat melihat lambang pada perisai tentera tersebut.
“Tentera Elit Utopia. Berani sungguh menyelinap masuk ke dalam Regalia.”
“Tidak sangka, kami diberikan peluang untuk menumbangkan kamu. Sedangkan tugas kami pada malam ini hakikatnya hanyalah untuk mensabotaj tentera Regalia.” Tentera itu membalas berani.
“Narsil Rafayel, kamu akan mati malam ini.”
Terus kesemua musuhnya itu menjarakkan diri, bersedia untuk melakukan serangan kali kedua. Jika tadi mereka hanya berpedang dan bertombak, kini sudah ada yang mula mengambil senjata yang boleh melancar tembak.
“Oh, kamu juga sudah berjaya menghasilkan rifle ya?” Dia perlahan-lahan bangun. Rifle adalah satu senjata yang wujud ribuan tahun yang lampau. Tinggal peredaran masa, dan kekurangan bahan telah menghentikan penggunaannya di dalam zaman. Kini, menggunakan teknologi baru di zaman ini, senjata itu telah berjaya dicipta semula oleh Kerajaan Bersatu Tanah Suci.
“Dan kami amat yakin, rifle kami akan menumpaskan rifle ciptaan Kerajaan Bersatu Tanah Suci.” Tentera Utopia itu yakin.
“Serang!” Ketua musuh memberikan arahan. Yang memegang rifle menembak. Yang kekal berpedang dan bertombak mula bergerak menyerang.
Tiga puluh bilah pedang yang terapung di sekeliling Narsil mula berputar menjadi pertahannya yang solid, menangkis semua tembakan, hingga tiada satu peluru pun yang mampu melepasi dan mengenai tubuhnya.
“Kamu hanya menjemput kematian kamu pada malam ini!” Narsil mengorak langkah. Tiga puluh pedang tadi lenyap sebentar. Dan salah satunya digenggam erat oleh Narsil. Dia menerjah ke arah musuhnya yang terhampir.
Musuhnya itu melibas pedang untuk mencantas kepalanya, namun dia segera menunduk dan bergerak pantas menikam tubuh musuhnya. Pedangnya itu menembusi tubuh tersebut. Ketika ini, seorang lagi tentera Utopia sedang melayang ke arahnya bersama tombak. Narsil melepaskan pedangnya tadi, dan sebilah pedang yang lain muncul di tengah udara, dia terus menggenggam pedang itu dan mengesampingkan serangan musuhnya. Mata tombak membenam ke bumbung masjid. Tanpa memberikan masa walau sesaat, Narsil terus mengangkat pedangnya memisahkan kepala musuhnya itu dari tubuh.
Ketika ini, sepuluh Tentera Elit Utopia yang menggunakan rifle menembak.
Namun tembakan mereka tetap tidak mengenai Narsil. Pedang-pedang yang terapung muncul sekali lagi melindunginya secara automatik. Narsil terus mara ke arah para penembak. Namun langkahannya dihalang oleh tiga lagi penyerang. Dua daripadanya melibas pedang mereka, namun dihentikan oleh pedang-pedang yang muncul terapung melindungi Narsil.
Pada saat ini, seorang lagi yang bertombak segera menujah senjatanya melalui ruang antara kedua wajah temannya. Tombak itu meluncur, melepasi pedang yang melindungi Narsil, dan menuju ke wajahnya. Tetapi Narsil telah tiada dan tombak itu hanya menjamah udara. Narsil sedang menunduk, dan kedua belah tangannya menujah ke hadapan menyentuh perut dua musuhnya yang berpedang. Sebaik sahaja tangannya menyentuh zirah mereka berdua, dua bilah pedang muncul pada kedua-dua tangannya, menembusi tubuh musuh-musuhnya.
Darah tersembur ke udara. Dan belum sempat darah itu jatuh ke bawah, Narsil sudah memutarkan tubuhnya 360 darjah. Selepas pergerakan tersebut, tubuh Tentera Elit Utopia yang menyerangnya dengan tombak tadi terus terpisah daripada pinggang. Narsil mendarat dengan sebatang tombak wujud dalam pegangannya.
Darah membasahi bumbung masjid.
Sepuluh lagi menyambung tembakan. Kini mereka bergerak mengepung Narsil, dan berusaha menyerangnya dari pelbagai arah. Narsil sekadar mengikuti pergerakan mereka dengan anak mata, tanpa berganjak selangkah. Tombak di dalam pegangannya menghilang. Dan satu tembakan pun tidak mampu menembusinya hingga sekarang. Pedang-pedang yang terapung di sekelilingnya berputar melindungi.
“Mustahil pertahanan kau ini sempurna!” Ketua Tentera Elit Utopia menjerit.
“Ya, mustahil sempurna. Yang sempurna itu hanyalah Allah. Tinggal…” Narsil memandang ke arah ketua itu. Tangan kanannya diangkat dengan telapak yang terbuka. Sebilah pedang muncul dalam pegangannya.
“…Kau tidak akan menjumpai kecacatannya malam ini.” Dia terus melemparkan pedangnya ke arah ketua tersebut. Namun ketua itu berjaya mengelak. Pedang tersebut terpacak pada bumbung Masjid.
Ketua tentera tersebut memandang sekilas ke arah pedang yang terpacak di sisinya itu. “Bodoh, apakah kau menyangka aku tidak akan…” Dan apabila dia memandang semula ke hadapan, Narsil sudah tiada di tempatnya tadi.
“Mampu mengelak?” Kini suara Narsil muncul di telinganya.
Namun sudah terlewat untuk dia bereaksi. Darah telah tersembur keluar dariapda mulutnya. Tubuhnya telah ditembusi pedang. Dia sempat melihat sebelah lagi tangan Narsil memegang hulu pedang yang terpacak.
“Teleportasi?”
“Tiada dalam penyiasatan kamu?” Narsil tersengih. Ketua musuhnya itu tumbang menyembah bumbung masjid. Antara kelebihan kuasanya adalah, dia boleh muncul di tempat senjatanya wujud.
“Aaargh!” Salah seorang dari sembilan yang tinggal menjerit. Dia menarik satu senjata yang sedari tadi tersandang di belakang bahunya. Senjata tersebut berbeza daripada rifle. Seperti ada ‘buah’ yang berbentuk tirus di hadapannya, dan bentuk tubuh senjata itu lebih mendekati silinder.
“Apakah itu?” Narsil tidak pernah melihatnya.
“Matilah!” Picu senjata itu ditarik. ‘Buah’ berbentuk tirus yang merupakan hadapan senjata tadi berpisah daripada tubuh senjata tersebut.
Satu letupan besar berlaku di atas bumbung masjid. Asap berkepul-kepul terhasil. Tubuh Narsil hilang daripada pandangan.
“Apakah kita telah berjaya?” Tentera yang melancarkan senjata aneh tadi bersuara.
Lapan yang lain tidak menjawab. Masing-masing teragak-agak untuk memeriksa. Mereka tidak akan dapat memastikannya, melainkan asap yang terhasil daripada letupan tadi menghilang pergi.
“Ternyata senjata bazooka ini, walaupun sekecil ini mampu menghasilkan kerosakan yang sebegini rupa ya?” Salah seorang daripada mereka bersuara. Mungkin ini baru pertama kali mereka mencubanya.
“Kita pasti menang dalam peperangan esok hari. Kita punya yang lebih besar bersama kita.” Seorang lagi mula bernada gembira.
“Haha.” Yang lain tertawa. Mereka hampir yakin bahawa Narsil telah terbunuh. Selangkah demi selangkah mereka mendekati asap yang berkepul-kepul.
Tiba-tiba deruan angin yang kuat terhasil. Asap yang berkepul tercantas. Pedang-pedang terapung yang setia melindungi Narsil berputar laju. Ibarat wujud kipas yang kuat, asap tebal terhembus hilang. Dan Narsil gagah berdiri di tengah-tengah lindungan pedang-pedang. Bumbung masjid tempat dia berdiri tadi berlubang. Senjata tadi menghasilkan letupan yang menghancurkan tempat dia berdiri. Namun dia tidak jatuh, bahkan kekal berdiri kerana kewujudan sebilang pedang-pedang yang menjadi lantai buatnya.
Dia langsung tidak tercedera.
Namun jelas kelihatan pada tubir matanya beberapa bilah pedangnya yang meretak. Letupan tadi nyata bukan sebarangan. Jika mampu meretakkan senjata-senjatanya, pasti dengan mudah letupan tadi mampu menghancurkan segala jenis senjata yang wujud di atas muka dunia.
Pedang-pedang tersebut melesap, dan muncul pula pedang-pedang yang lain.
Sembilan musuh di hadapannya terketar-ketar.
“Ada yang lebih besar ya?” Narsil berkerut. Walaupun dia terselamat, tetapi nyata dia sempat menyaksikan kekuatan senjata terbaru itu. Jika ada yang lebih besar daripada apa yang disaksikannya pada malam ini, pasti benteng pertahanan Regalia akan roboh pada peperangan esok hari.
Kerajaannya. Rakyatnya. Perempuan yang dicintainya. Keluarganya. Kakandanya. Ayahandanya. Semua itu muncul dengan pantas pada tubir matanya. Terkenang semuanya.
“Kamu tidak akan pulang pada malam ini.” Narsil mengetap bibir.
Langkah dikorak pantas. Dia menerkam ke tengah-tengah sembilan musuhnya.
Dan darah bersemburan ke udara lagi.
******
Dua jam sebelum Azan Subuh berkumandang, Masjid Utama Kerajaan Regalia menerima tetamu kebiasaannya. Sekumpulan manusia yang mencari kekuatan dengan bangun di sepertiga akhir malam untuk bermunajat kepada Ilahi datang seperti kebiasaan yang dilakukan mereka sehari-hari. Namun hari ini nyata punya kejutan buat mereka.
Keindahan ruang solat utama Masjid tersebut terganggu batu-batan yang bertaburan. Nyatanya daripada bumbung Masjid yang pecah. Di salah satu batu-batan itu, seorang lelaki sedang duduk bersila menghadap kiblat.
“MasyaAllah, Allahuakbar, apakah yang sedang berlaku ini?”
Salah seorang daripada mereka, yang kelihatannya seperti paling berusia, bersuara.
“Semalam, Tentera Elit Utopia datang untuk melakukan sabotaj terhadap tentera Kerajaan ini. Mujur mereka bertemu denganku terlebih dahulu, lantas aku menumbangkan mereka. Tinggal…” Perlahan-lahan lelaki yang bersila itu menoleh ke arah kumpulan manusia yang hadir itu.
“Allahuakbar, Tuanku Narsil!” Lelaki tua itu terkejut. Namun perasaan syukur yang terpancar pada wajahnya. Segera dia merapati Narsil.
“Ke manakah Tuanku menghilangkan diri selama ini?”
Narsil tersengih. “Guru,”
Lelaki yang berusia itu adalah gurunya. Kiai Remi Rundo. Boleh dikatakan satu-satunya guru yang disenanginya. Guru yang memahaminya. Guru yang banyak membimbingnya akan hubungan dengan Allah SWT. Namun, dek kerana tertekan dengan kehidupan, gurunya ini turut ditinggalkan. Ajaran-ajaran dan pesanan-pesanan gurunya ini tidak dihiraukan. Merajuk dengan Allah, menyebabkan dia turut merasakan gurunya ini tidak mampu membahagiakan.
Tetapi kini entah mengapa, wajah gurunya seakan mengisi jiwanya yang wujud kekosongan.
“Mereka mempunyai senjata baru yang dasyat, Guru.” Narsil kembali berpaling ke arah kiblat.
Kiai Remi menghela nafas. Zikir melewati bibir. Segera dia memandang kepada mereka yang datang bersamanya. “Mungkin boleh dikemaskan sedikit apa yang boleh. Tinggalkan mana yang tidak boleh diangkat sahaja. InsyaAllah, ini juga adalah ibadah. Membersihkan rumah Allah.” Lembut dia bersuara.
Semua yang ada mengangguk. Taat. Bergerak mengambil alat pembersih, dan melakukan apa yang dicadang. Manakala Kiai Remi bergerak memanjat batu-batan sederhana, bagi mendekatkan jaraknya dengan Narsil yang sedang bersila di atas batu-batan gergasi. Bulan Purnama jelas kelihatan pada lubang yang wujud di atas bumbung.
“Apakah kamu akan menyertai kami pada peperangan hari ini?”
“Saya bukanlah orang yang pantas untuk memimpin, Guru.” Narsil bersuara lemah. Dia membongkok sedikit dalam silanya. Berbicara tanpa memandang Gurunya.
“Tetapi kamu tahu, sekiranya kamu tidak turun pada keesokan hari, kita akan tumpas, bukan?”
“Bukankah Allah itu yang memegang kemenangan, Guru? Bukankah kemenangan itu, hanya akan diberikan kepada mereka yang bersih dirinya? Yang kuat pegangannya? Semestinya bukan saya orangnya, Guru.” Narsil menggeleng lemah.
“Saya adalah yang telah melakukan kesilapan, dan saya adalah yang telah jatuh ke lembah maksiat, dan berlari jauh daripada Allah.” Mata Narsil mula bergenang. Segera dua telapak tangannya menutup mata.
Bahu lelaki itu mula terenjut. Sendu kedengaran.
“Tetapi tidakkah kamu sendiri melihat, Allah memanggil kamu?” Kiai Remi bersuara lembut, sambil tangannya menepuk belakang Narsil dengan perlahan.
“Itulah yang menambah kegusaran hati ini, Guru. Mengapa saya? Mengapa saya dipanggil? Mengapa mesti saya ditakdirkan mengetahui kekuatan dan kedasyatan mereka? Yang menimbulkan rasa perlu turun bagi menyelamatkan semua?”
“Khalid Al-Walid RA itu dahulu adalah manusia yang menumpaskan tentera Utusan Langit Terakhir, yang berjaya membuatkan 70 pemanah Utusan Langit Terakhir terbunuh di medan Uhud. Tetapi Allah memilih dia, menyelamatkan ribuan para sahabat yang lain dalam pelbagai medan perang selepas keislamannya. Siapakah yang menyelamatkan tentera Islam di medan Mu’tah kalau bukan Khalid Al-Walid RA?”
Narsil tersentak. Jiwanya seakan dipanah.
“Ikrimah bin Abu Jahal RA, adalah antara yang dihalalkan darahnya oleh Utusan Langit Terakhir kerana menentang kemasukan baginda dalam peristiwa Fathu Makkah. Tetapi dialah yang akhirnya Allah pilih sebagai punca kemenangan tentera Islam di medan Peperangan Yarmouk.”
Sekali lagi, jiwa Narsil tersentuh.
“Mereka ini, Narsil Rafayel yang aku cintai, menyahut seruan Allah untuk membersihkan dosa-dosa yang menggunung dalam kehidupan mereka. Mereka kembali kepada Allah SWT. Dan menjadi yang berguna buat agamaNya. Allah memanggil mereka, dan kini Allah memanggilmu. Ummat memerlukan kamu, Narsil. Dan kamu mengetahuinya.”
“Aku tidak pantas, wahai Guru.” Narsil menggeleng.
“Siapa suruh kau turun dengan dosa-dosamu wahai Narsil. Siapa suruh Narsil yang melarikan diri dan terjun ke lembah maksiat itu yang memimpin? Bangunlah dari silaanmu. Turunlah dari tempatmu itu. Bersihkan dirimu, dan sujudlah bersamaku. Tenangkan jiwamu, teguhkan hatimu. Kembali kepada Rabbmu. Narsil yang bersih itulah yang akan memenangkan tenteraNya. Aku yakin, itulah kehendakNya. Sungguh, Dia sedang memanggilmu, untuk kamu memanggilNya wahai anak muridku. Dia sedang membukakan peluang, agar kamu dapat mengubati kesilapan dan menampung kekurangan yang telah berlaku kepadamu.” Bersungguh-sungguh Kiai Remi mengetuk pintu hati Narsil.
Mereka yang datang bersama Kiai Remi, yang sedang membersihkan apa yang boleh dibersihkan, terhenti daripada kerja mereka. Semua memandang Kiai Remi. Terharu dengan apa yang dikatakan. Ya, Allah itu apabila hendak memberikan hidayah kepada seseorang, ada 1001 cara.
Ada yang diberikanNya kecelakaan. Ada yang diberikanNya kesenangan. Ada yang diberikanNya ujian. Ada pula yang diberikanNya penyelesaian. Ada yang diberikanNya tanggungjawab dan amanah. Ada yang diberikanNya kebebasan dan kesenangan. Allah Maha Tahu, apa yang hambaNya perlu. Allah itu memberikan apa yang hambaNya perlu, bukan apa yang hambaNya mahu. Jika ujianlah yang mampu membangkitkan hambaNya, maka itulah yang diberikanNya. Jika kehidupan yang pahit mampu membina peribadi hambaNya menjadi lebih baik, maka itulah yang akan dilakukanNya. Dan tiadalah manusia itu diberikan ilmu olehNya, melainkan sedikit sahaja.
Narsil mengetap bibir. Air mata deras menuruni pipi. Tubuhnya terenjut-enjut menahan esak.
“Allah, Allah, Allah.”
“Bangunlah Rafayel. Gelaran Narsil itu bukanlah hiasan.” Kiai Remi menepuk belakang Narsil sekali lagi.
Narsil mengangguk-angguk perlahan. Dia menolak bumi dan bangun berdiri. Dia melompat turun dari batu-batan besar tempat silaannya tadi.
“Allah, aku menyerah diri.” Perlahan dia berbicara sendiri.
Terus dia membuka langkah menuju ke kawasan mandi yang wujud di dalam bangunan Masjid Utama Kerajaan Regalia ini.
Kiai Remi sekadar memandang Narsil menghilang di balik dinding. Sambil bibirnya tidak henti-henti mengulang kalimah takbir.
Sungguh, aturan Allah, siapa yang mengetahui.
Allah mengaturkan keislaman seorang Hamzah, dan Hamzah itu antara kunci kekuatan Islam di medan Badar. Allah mengaturkan keislaman seorang Umar, dan Umar itu yang menguatkan Islam hingga mampu muncul terang-terangan di tengah Makkah. Allah mengaturkan keislaman seorang Khalid Al-Walid, dan Khalid Al-Walid itu yang menyelamatkan tentera Islam di Mu’tah. Allah mengaturkan keislaman seorang Ikrimah bin Abu Jahal, dan Ikrimah bin Abu Jahal itulah yang menjadi kunci kemenangan orang Islam di dalam peperangan Yarmouk.
Dalam eranya, Allah telah membantu manusia-manusia yang menumbangkan Sang Asura sekitar seratus tahun dahulu dengan keislaman dua manusia yang amat hebat, yang sebelumnya merupakan jeneral kepada Sang Asura. Itulah dia Izrayel Junjaki dan End Less. Kedua-duanya memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya seperti peranan figur-figur di zaman Utusan Langit Terakhir tadi.
Kini, siapa menyangka, di saat Kerajaan Regalia tersepit dengan kedasyatan kekuatan tentera Utopia, ditambah pula dengan maklumat yang kurang berkenaan mereka, Rafayel Narsil yang menghilangkan diri itu kembali? Bahkan kembalinya dengan membawa perubahan di dalam diri.
Allah nyata sedang menjawab doa hamba-hambaNya!
“Allahuakbar, Subhanallah, Walhamdulillah!” Kiai Remi tersenyum.
Seakan-akan kemenangan esok adalah pasti.
******
Dia berada di hadapan sekali. Dan dengan matanya yang tajam itu, dia dapat menangkap tiga buah kenderaan aneh bersaiz gergasi yang diselimuti kain besar. Dia amat yakin, itulah senjata yang diperkatakan oleh musuh-musuhnya semalam.
Dua belah tangan bersilang di dada.
“Adinda, bagaimana?”
Dia memandang hanya dengan gerakan anak matanya.
“Kakanda Ragnar. InsyaAllah, kita usahakan sebaik mungkin agar apa yang kita rancangkan selepas Subuh tadi, berjaya.”
Kekandanya itu tersenyum senang. Bahunya dipaut mesra. Kemudian ditarik tubuhnya merapati kekandanya itu.
“Sungguh, aku rindu samamu.”
“Minta maaf kerana lambat pulang.” Lama dia tidak merasakan kehangatan pelukan ini. Sedar tidak sedar, lima tahun dia menghilangkan diri.
Ragnar menggeleng. “Tiada istilah lambat wahai adinda. Ini memang waktunya yang tepat. Sebab itu Allah memulangkan kepadamu pada ketika ini. Sungguh, Allah itu tidak pernah lewat.”
Jiwanya bergetar mendengar bicara kekandanya. Utuh sungguh keyakinan kekandanya itu kepada Allah SWT.
“Baiklah. Sudah tiba masanya. Kami akan menuruti perancangan yang telah kamu berikan.” Bahunya ditepuk lembut.
“Pulang nanti, kita terus raikan dengan perkahwinan kamu bersama Aleena.”
Kening Narsil terangkat sebelah.
Ragnar meninggalkannya dengan senyuman, “Dia masih setia menunggu kamu, dan menyesal kerana tidak cukup kuat untuk memahami kamu,” sambil mengenyitkan mata, dan terus menuju ke posisi yang telah ditetapkan.
Narsil tertawa kecil. Lantas mengangguk. Kemudian perlahan-lahan dia menggeleng. Mengapa mudah sungguh dia berpaling sebelum ini? Alangkah indahnya jika dia lebih bersabar. Ah, tetapi mungkin sahaja jika dia tidak melalui apa yang dilaluinya, dia tidak akan punya kesegaran yang sebegini rupa. Nyata, susunan Allah itu jugalah yang terbaik.
Dia memandang ke hadapan. Dengan kelebihannya, dia adalah yang akan menghancurkan tiga buah kenderaan tersebut. Kenderaan-kenderaan itu pastinya memakan masa yang lebih dalam melancarkan serangan. Dan apabila Narsil mampu meletupkannya nanti, pasti kuasa letupan kenderaan itu akan melumpuhkan sebahagian besar tenaga tentera Utopia.
Dan dengan kegeniusannya, dia telah mengatur strategi yang amat licik bagi membolehkan tentera mereka yang sedikit kelihatan banyak. Tentera kekanda, dan tentera ayahandanya sudah diletakkan di posisi timur dan barat. Manakala tenteranya berada di hadapan kota, dalam dua barisan yang panjang. Maka apabila mereka digempur, tentera kekandanya dan tentera ayahdanya akan masuk ke medan perang dari arah masing-masing, mengkucar-kacirkan barisan musuh yang pastinya tidak menjangka semua itu.
Itu belum dikira kumpulan-kumpulan elit kecil yang dibina sebagai penggempur, yang akan memasuki medan pertempuran pada saat genting. Pasukan-pasukan itu diberikan pakaian yang berlainan bagi kelihatan bukan dari kerajaan Regalia. Ini akan menjatuhkan moral musuh-musuhnya, yang menyangka bantuan dari luar tiba.
Semua dalam genggamannya.
Allah memanggilnya.
Dia menyahutnya.
“Ya Allah, Kau memberikan aku kerja ini, amanah ini, tanggungjawab ini, kekuatan ini. Maka kepada Kau sahajalah aku pohon kekuatan, agar aku berjaya dalam peperangan ini, dan kehidupanku ini. Sungguh, Yang Maha Tahu akan kelemahan diriku, hanyalah diriMu, Ya Allah.” Dia berdesis sendiri.
Dan nyata, Allah itu tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Tinggal, hamba-hambaNya sahaja yang perlu kuat untuk bangkit dari kejatuhan masing-masing, menyahut panggilan-panggilanNya. Dan bukanlah kejatuhan itu, ujian itu, kesedihan itu, kepayahan itu, satu perkara yang buruk sebenarnya. Kadangkala, itulah proses bagi manusia menyedari akan kesilapan diri, dan pembuka jalan bagi manusia mempertingkatkan peribadi mereka.
Dia tidak dapat menggambarkan ketenangan jiwanya apabila kembali sujud dalam keadaan betul-betul membuka hatinya kepada Allah SWT. Dalam keadaan tidak menyalahkan Allah SWT. Dalam keadaan redha dengan Allah SWT. Dia tidak dapat menggambarkan perasaannya yang lega, apabila meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT
Nyata, Allah memanggilnya, untuk dia kembali memanggilNya.
Dan panggilan dia kepadaNya itu bersahut. Kerna Allah SWT itu tidak pernah memungkiri janjiNya, dan menjawab panggilan-panggilan hambaNya. Tinggal hamba itu, perlu sabar dan percaya.
“Tuanku Rafayel.”
Satu suara menegurnya. Dia kenal akan suara itu. Tentera itu bergerak ke hadapannya.
“Masanya telah tiba, Tuanku Rafayel.” Dia adalah tentera yang menyerunya pulang, beberapa minggu yang lalu.
Dia mengangguk perlahan.
Tentera itu mula bergerak kembali ke posisi.
“Kamu,” Narsil memanggil.
Langkahan tentera itu terhenti. “Ya, tuanku?”
“Orang memanggilku Narsil.” Dia bersuara perlahan, dengan senyuman.
Tentera itu turut tersenyum.
Narsil mendepangkan kedua-dua belah tangannya. Puluhan senjata keluar terapung ke udara.
“Dengan nama Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa, serang!”
Dan peperangan pun bermula.
————————————————————————————
Note 1: Angkasa Sakti, Izrayel Junjaki, End Less, Sang Asura, Kerajaan Utopia, Kerajaan Tanah Suci, adalah nama-nama watak dan tempat yang wujud di dalam Novel Takdir karangan saya.
Note 2: Nama Narsil adalah diambil daripada nama pedang yang memutuskan tangan Sauron dalam Lord of The Ring karangan J.R.R. Tolkien. Begitu juga dengan asal usul namanya.
___________________________________________________________________________________________________________________
© Langitilahi.com
Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan bahan-bahan yang terdapat di sini, namun alamat langitilahi.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa kebenaran pihak langitilahi.com terlebih dahulu
No comments:
Post a Comment