Cerpen “Kau Harus Ada”
Dapat idea tak fasal-fasal.
Enjoy it!
Cerpen: Kau Harus Ada.
“Awak, bangun awak.”
Suara itu menembusi kegelapan. Menarik aku dari kelamnya lena. Perlahan-lahan kubuka mata. Cahaya masuk, dan siling menjadi persembahan pertama.
“Urgh,” Aku mengesat mata, yang kurasa masih tidak hilang kantuknya.
“Mengantuk lagi?”
Aku menggeleng. Kemudian perlahan-lahan menumpukan pandanganku kepada yang bersuara.
Dia sedang memandangku dengan perihatin.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang masih menghidupkan diri kita hari ini.” Aku mengucap perlahan. Ketika itu juga bibirnya mengukir senyuman.
“Ada setengah jam lagi sebelum Subuh. Sempatlah kalau nak qiamullail.” Dia perlahan-lahan turun dari katil.
Aku mengangguk dengan garisan kesenangan. Aku menolak katil untuk menukar posisi, dari berbaring kepada duduk bersila. Sekadar memandang dia yang berjalan menjauhi katil, kemudian menghilang di balik bilik air.
Senyumanku belum pudar.
Puas hati bangunku hari ini. Seperti juga hari-hari sebelumnya semenjak wujudnya dia.
Benar sangkaanku, dia harus ada.
“Alhamdulillah ya Rabb,” Dan syukurku bukan sekadar kata. Segera aku bangun, menuju ke bilik air di luar kamar. Membersihkan diri, siap mengambil peluang qiam yang masih berbaki. Biar syukurku wujud dalam amalan juga.
******
“Apa senyum-senyum?”
Aku mengangkat kening. Tanda tanya. Tak faham mengapa aku ditanya.
Suasana halaman yang indah mengisi keadaan. Angin pagi sepoi-sepoi bahasa dengan hawa yang sederhana membuatkan diri terasa damai. Antara kegemaran kami berdua, sarapan di halaman rumah kala hening pagi sebelum pergi mencari rezeki.
“Ya la, ada apa-apa ke? Atau muka saya ada masalah?” Dia mengesat pipi dengan belakang tangan yang sedang memegang garfu.
Aku tertawa. “Mana ada apa-apa pada muka awak. Saya sahaja nak senyum. Tak boleh?”
Dia tersenyum sama. “Senyum tak mengapa. Tapi senyum sambil tenung saya lama-lama tu yang buat saya tertanya-tanya. Tak sedap ke Mee Goreng saya masak?”
“The Best in The World. Sama level dengan Ummi dan Ibu masak.”
“Habis tu, senyum-senyum kenapa?”
Aku dengan senyuman yang tidak lekang, menggeleng senang.
“Senyum, sebab awak ada di hadapan saya, sarapan dengan saya.”
Spontan wajahnya merah. “Hish, ingatkan apa tadi.” Terus dia kembali menumpukan perhatian kepada Mee Goreng di atas pinggan.
Aku juga menyambung makan. Sengaja mengekspresikan rasa hati. Kerna aku memang benar-benar rasa beruntung dengan keberadaannya di sisi. Aku tidak dapat membayangkan betapa aku sedang melalui hari-hari ini. Hari yang aku fikir tidak akan tiba buat diri.
“Awak, sibuk tak hujung minggu ni?” Soalan itu muncul saat aku selesai dengan suapan terakhir.
“Kenapa?”
“Sibuk tak?”
“Kalau sibuk kenapa?”
“Kalau sibuk, saya tak nak lah cakap.”
“Kalau macam itu, tak sibuklah.” Aku mengesat kawasan sekitar mulut dengan tisu, sambil kekal tersenyum.
Dia mencemikkan muka. “Saya taknak sampai ganggu schedule awak.”
Aku menggeleng. “I’ll manage. Apa yang awak nak cakap?”
“Er…” Teragak-agak. “Keluar jalan-jalan jom?” Wajahnya seakan amat berhati-hati bila melafazkan soalan.
Tawaku muncul lagi. Geli hati melihat wajahnya. Dan tersentuh dengan ajakannya. Aku faham maksud ajakan itu.
“Sebab itu kan, saya suka senyum bila tengok awak.”
“Meaning?”
“Awak adalah peringan yang Allah turunkan buat saya.”
Dia membalas kata-kataku itu dengan senyuman senang. Aku tahu dia mengajakku berjalan itu bukan kerana dia yang inginkan. Tetapi kerana aku sibuk dengan timbunan kerja dan projek, hingga hampir tidak punya masa merehatkan tubuh dan minda ke mana-mana.
Aku bangun. Perlu segera untuk ke tempat kerja.
“Jadi, macam mana? Awak tak kata setuju lagi.” Pertanyaannya menyelit sebelum aku berdiri sempurna.
“Baik sayang. Saya setuju. You pick the place, okay?”
Dia mengangguk perlahan.
Segera kujinjit briefcase di tepi kerusi kayu tempat dudukku, kemudian perlahan-lahan bergerak ke arah kereta yang enjinnya telah siap kuhidupkan sebelum sarapan tadi. Aku memang telah siap dengan pakaian kerja setiap kali bersarapan pada hari-hari biasa. Memudahkan pergerakan dan menjimatkan masa.
“Awak,” Suaranya kedengaran, membuatkan aku menoleh.
Segera dicapainya tanganku, dan menundukkan kepala menciumnya.
Kembang jiwa. Perasaan ini, setiap kali hendak bekerja, seakan-akan pembekal kekuatan yang berganda-ganda. MasyaAllah, Subhanallah, Alhamdulillah.
“Take care. Jumpa nanti petang.” Aku menyentuh pipinya lembut dengan telapak tanganku.
“InsyaAllah, awak take care juga.”
“InsyaAllah.” Sambil masuk ke kereta.
Dengan lafaz bismillah, aku memutarkan stereng dan menekan pedal minyak, menggerakkan keretaku separuh bulatan mengikut ruang yang ada di hadapan rumahku, sebelum bergerak lurus keluar dari halaman rumah.
Sempat aku melihat cermin pandang belakang.
Dia melambai.
Aku tersenyum senang.
******
Bunyi alat penghawa dingin ruang tamu menyulam suaraku membaca Al-Quran.
Senggang masa antara Maghrib dan Isya’, kuisi dengan rutinan harian. 10 muka surat paling kurang, sehari. Itu aku disiplinkan buat diri ini.
Tiba-tiba dia yang sedari tadi membaca Al-Quran dengan perlahan di tempat solatnya, merapatkan diri.
“Awak, tasmi’ bacaan saya, boleh?” Sambil dia menghulurkan mushafnya kepadaku.
Aku mengangkat kepala, melihat wajahnya, kemudian merayap kepada Al-Quran yang disuakan.
Hatiku kembang. Ini bukan pertama kali, tetapi setiap kali ini berulang, aku rasa lapang. Senang. Ketika itu juga senyumanku muncul.
“Awak ni, sikit-sikit senyum sahaja. Dari awal kahwin macam itu.” Dia mengerutkan dahi sedikit.
Senyumanku melebar. Sebelah tangan menutup mushaf yang ada padaku, sambil sebelah lagi menyambut Al-Quran di tangannya.
“Senang hati, kita senyumlah.” Aku menjawab dengan senyuman yang masih berbunga.
“Ya? Ke awak ada nampak apa-apa yang tak kena pada saya? Dari awal-awal lagi saya sebenarnya tertanya-tanya.” Dia berwajah penuh persoalan. Senyuman pada bibirnya beriak mencungkil jawapan.
Itu hanya membuatkan senyumanku memekar.
“Saya senyum, sebab saya nampak awak ada depan saya la.”
“Itu jawapan ke?”
“Ha, sekarang ni nak cungkil rahsia, atau nak saya tasmi’ hafazan awak?”
“Yalah, dia tak nak kongsi dengan kita. Simpanlah rahsia awak tu. Ha, tasmi’ ya? Hafazan plus tajwid sekali tau. Check betul-betul.” Dia mendekatkan diri
“Baik, sayang.”
Suaranya mengambil alih ruang, bersulaman dengan bunyi penghawa dingin. Surah An-Nisa’ kedengaran menggetarkan gegendang telinga.
Aku menikmatinya. Dan rasa nikmat mendengar suara orang yang tercinta mengalunkan ayat-ayat Allah SWT itu membuatkan aku menutup mataku. Tidak menjadi masalah untuk memeriksa apa yang dibaca, memandangkan aku juga menghafalnya.
Sekali-sekala dia tersilap ayat, aku menegurnya. Adakala tajwidnya kurang tepat, aku membetulkannya.
Suasana ini, menyenangkan. Suasana ini, membahagiakan. Suasana ini, amat mengasyikkan.
Hinggalah dia menamatkan bacaannya. Aku membuka mataku semula. Memandang dia di hadapanku. Kalau bukan kerana aku tahu aku masih di dunia, aku sudah berkata bahawa aku sedang berada di dalam syurga.
“MasyaAllah,” Aku memuji Allah SWT. Apakah yang lebih indah dari yang aku sedang lalui ini?
“Banyak salahlah.” Dia bernada seperti kurang berpuas hati, sambil mengambil semula mushafnya.
“Still good lah. Boleh baiki dari masa ke semasa, insyaAllah.”
“Terima kasih sebab sudi tasmi’ saya.”
“Sama-sama kasih. Esok, awak tasmi’ saya pula ya?” Aku angkat kening sebelah, seakan menggesanya berjanji.
Dia tersenyum, mengangguk. “Promise.”
Senyumanku jadi tidak pudar. Puas hati. Dengan nikmat tidak terhingga yang Allah berikan ini.
******
Aku memandang skrin 43 inci desktopku yang melekat pada dinding. Pelbagai kertas kerja tersusun di atas meja. Jari jemari mengetuk irama yang tidak berseni. Sepenuh tumpuan kukerah. Minda kuperah.
Come on, come on. Di dalam hati aku menggesa biar idea berbuah.
Projek baru Syarikatku, memerlukan satu idea yang lain dari lain yang tidak pernah lagi dibuat orang. Aku perlu mereka satu program yang dinamik, supaya membuatkan masyarakat tertarik untuk menyertainya.
Syarikatku bukan syarikat biasa. Tetapi merupakan satu platform dakwah dan tarbiyah yang fokusnya adalah untuk memprodus program-program buat masyarakat umum. Supaya dapat menarik lebih ramai lagi manusia untuk mengenali Allah SWT, dan menyedari bahawa Islam sebagai deen yang sebenar. Syarikat ini kelihatan seperti Syarikat Konsultansi, tetapi matlamat utamanya bukanlah laba. Matlamat utamanya adalah memprodus manusia menjadi hamba yang Allah SWT redha, menggunakan wasilah dakwah dan tarbiyah. Antara taktik kreatifnya adalah dengan sentiasa menjalankan program-program terbuka agar masyarakat menyertainya. Dan syarikat ini mempunyai banyak cabang lain, antaranya Kelab Remaja, Kelab Pemuda, Kelab Wanita, juga wujud bahagian Novel, Buku Motivasi, Majalah. Aku adalah antara pengasas syarikat ini.
Bermula umurku 18 tahun, aku sudah mula merancang dan bekerja untuk merealisasikan syarikat ini. Bermula dengan diriku seorang, kemudian aku berjaya mengumpul sekumpulan sahabat yang sama-sama berkongsi matlamat di dalam hal ini, hinggalah akhirnya apa yang awalnya hanya bermula dengan blog, kini menjadi sebuah syarikat yang aktif dan masih berkembang di negara ini.
“Ya Allah, idea, idea.” Aku melekapkan dahi ke atas meja. Dahi menyentuh kertas kerja.
Tiba-tiba aku terasa rambutku diramas. “Kuatnya dia kerja.” Dan suara lembut itu membuatkan aku mengangkat kepala semula, dan terus mendongak ke arah dia yang kini berada di sisiku. Senyumannya menghiasi tubir pandanganku.
“Nescafe?” Dia menghulurkan cawan dengan tangan kanan, sambil tangan kirinya kekal di rambutku.
Aku yang tadinya berkerut dahi menanti idea menghadirkan diri, tersenyum senang. Kusambut cawan itu dengan cermat, perlahan-lahan menghirupnya.
Ya Allah, seakan bebanan tadi terangkat begitu sahaja.
“Projek baru?” Dia menyoal. Kini dia berada di belakang kerusiku. Dapat kurasa nafasnya menyentuh leherku. Walaupun mataku kini tertumpu pada skrin, aku dapat mengagak bahawa dia juga sedang memandang perkara yang sama. Aku mengangguk, sambil nescafe sekali lagi kuhirup.
“Awak ni, dari dulu lagi buat benda macam ini ya?”
“Em. Tapi dulu taklah se’havoc’ macam ini. Dulu kecil-kecilan sahaja. Sekarang betul-betul terjun jadi mainstream.” Aku memberitahu.
“Yalah, siapa sangka awak boleh sampai macam hari ini. Tapi mesti ada bayarannya kan untuk capai apa yang awak capai hari ini?”
Aku mengangguk lagi. Kembali mengimbas hari-hari lalu.
Saat orang lain berumur 18 masih tidak pasti akan masa hadapan dan leka dengan pelbagai kesenangan, aku sudah menyusun perancangan dan melakukan pergerakan. Semasa pelajar lain di universiti hanya perlu fokus kepada kehidupan sebagai pelajar universiti, aku seakan-akan sudah menjadi orang yang bekerja sambil belajar. Aku tidak punya masa bermain yang banyak, masa libur yang banyak, semuanya untuk menjadikan cita-citaku membina sebuah syarikat yang mampu menjadi platform kepada dakwah dan tarbiyah ini sebagai realiti.
Dan selain perlu mengorbankan itu semua, aku turut mengalami sesuatu yang lain.
Kesunyian.
Kerana ideaku amat bombastik, dalam keadaan usiaku yang amat muda. Rakan-rakan sebaya tidak mampu menghadam ideaku, dan tidak ramai yang senang dengan gaya hidupku. Membuatkan aku keseorangan. Sendiri membina semua ini, perlahan-lahan.
Aku masih ingat bagaimana aku sendiri hampir sahaja merasakan bahawa aku ini gila kerana berbeza dengan rakan-rakan. Aku masih ingat bagaimana aku berusaha untuk mencari ‘normaliti’ dalam kehidupan. Saat idea-idea membuak dan tidak ada sesiapa untuk dijadikan tempat perkongsian. Saat dikala tiada seorang pun mahu mendengar cita-cita dan impian yang hendak diceritakan.
Sungguh terseksanya hari-hari itu.
Walaupun pada akhirnya aku bertemu sekumpulan manusia yang bergelar ‘sahabat’, yang memahaminya, yang bekerja bersamanya, tetapi memandangkan mereka semua berjauhan dan bertemu hanya sekali-sekala, kebanyakannya hanya banyak berhubung di alam maya, aku tetap merasa kesepian.
Namun, aku tidak mengalah.
Tetap berusaha. Membelah segala cabaran dan dugaan. Melalui semuanya dengan sabar. Yakin bahawa bahagia itu nanti akan tiba, dan aku nanti akan dikurniakan Allah SWT seorang teman, yang sentiasa berada di sisi dan meringankan segala keberatan. Memberikan aku satu perasaan ‘normal’, menyelamatkanku dari rasa keterasingan. Menambahkan kekuatan, dan memanjangkan lagi langkahan.
Dan hari ini pun sampai.
Saat aku memandang skrin ini, aku berteman.
Aku menghela nafas. Ketika ini aku rasa lapang yang teramat, dan kepalaku menjadi ringan. Tiba-tiba aku seakan terlihat sesuatu. Seakan-akan penghadang yang menyekat telah terangkat. Idea tiba!
Segera kuletakkan cawan di atas meja. Terus menekan-nekan papan kekunci, menaip idea-idea yang baru hadir daripada Ilahi.
“Alhamdulillah.” Aku melarikan cursor pada ikon disket biru. Bila selesai semuanya, dan melakukan pemeriksaan semula agar pasti yang projek tadi sudah tersimpan kemas, aku memusingkan kerusi.
Aku dapat melihat wajahnya yang dihiasi senyuman.
“Terima kasih, awak.”
“Hihi, apalah yang nak diterima kasihkannya kepada saya ni? Saya buat nescafe je pun.”
“Terima kasih sebab awak ada di sisi saya.”
“Ala, kut la sumbangkan idea ke, baru nampak macam saya ni berhak kepada terima kasih itu.”
Aku diam dan tidak lagi menyambung kata. Hanya senyumanku sahaja yang kekal pada muka. Aku tahu, kalau aku berbicara lagi, dia hanya tidak akan mengalah untuk merendahkan diri.
“So, esok jadi ya?”
“Jalan-jalan?”
“Em.”
“InsyaAllah. Kerja dah selesai. Betul-betul free. Awak dah pilih tempat? Di mana?”
“Aaaaa, rahsia. Esok, awak ikut sahaja. Saya drive.” Dia mengenyitkan sebelah mata.
Tawa kecilku muncul melihat ulahnya. Macam-macam.
******
“Unexpected.” Terlafaz keluar daripada bibirku.
Angin mendodoi damai tubuh. Dia yang setia di sisi memaut lenganku. Bunyi ombak menghiasi suasana.
“Ummi kata, awak dulu masa kecil-kecil paling suka pergi sini. Tapi lepas pindah, Ummi dan Abah tak pernah sempat bawa awak datang sini lagi. Kemudian awak besar, masuk asrama, Ummi Abah sibuk, tambah lepas itu awak pergi overseas, then awak sibuk dengan projek itu ini, sampailah sekalipun awak tak pernah dapat datang sini.”
Ini tempat di mana Abah selalu membawaku sewaktu kecilku dahulu. Dengan motor bujangnya, Abah akan membawaku mengambil angin di pantai ini dahulu. Keadaan di sini walaupun sudah berubah banyak, tetapi masih terdapat beberapa petanda bahawa inilah tempat yang menyimpan kenangan, sebelum aku membesar menjadi aku.
“Eh, awak tak suka ke?” Tiba-tiba pertanyaan itu menyentuh gegendangku. Membuatkan aku menoleh ke arahnya. Wajahnya seakan cemas.
“Kenapa tanya macam itu?” Aku kehairanan.
“Kenapa awak menangis?” Segera tangannya naik menyentuh pipi. Baru aku perasan, ada cecair yang mula menuruni. Baru aku sedar yang pandanganku kabur. MasyaAllah.
Aku terus duduk bersila di tempat aku berdiri. Pasir pantai tidak kuhirau mengotori jeans. Dia turut sama duduk di sisi.
“Awak tahu, bila akhir waktu saya ingat bahawa saya normal?”
Dia diam. Seakan memberi ruang aku menjawab sendiri persoalan itu. Sebab dia semestinya tidak tahu.
“Ketika saya terkenangkan Abah bawa saya ke pantai ini, ambil angin dengan motor bujang dia.” Aku menjawab persoalanku tadi.
Bau pantai ini, anginnya, suasananya, semuanya membuatkan aku seperti mampu melihat semula dengan jelas suasana indah itu.
“Saat saya berhempas pulas mengharungi hidup yang penuh dugaan dan cabaran, menggalas idea-idea yang bombastik, hidup tidak seperti orang lain, rasa-rasa bahawa diri itu amat terasing daripada kebiasaan orang lain, saya akan teringat suasana di tempat ini ketika Abah bawa saya ke mari dengan motor.”
“Jadi, sekarang awak terubat bila saya bawa ke mari?” Dia bertanya.
Aku menggeleng. Dan senyuman mengoyak bibir. Aku memandang dia yang berada di sisi.
“Saya sudah terselamat dari keterasingan itu, dari kelemahan itu, semenjak awak ada dalam kehidupan saya.”
Ikhlas. Jujur.
Aku pernah menyangka bahawa aku tidak akan bahagia sebenar-benarnya. Aku pernah menyangka bahawa satu waktu aku akan tewas bila kehabisan tenaga. Membawa sesuatu yang besar, hendak merealisasikan sesuatu yang semua orang kata mustahil untuk direalitikan pada usia muda, melawan arus kebiasaan dunia, dalam keadaan tidak pula ramai yang menyokong, aku fikir aku akan kehausan dan jatuh tak bermaya. Tinggal aku hanya percaya, bahawa Allah tidak akan meninggalkanku. Itu sahaja yang aku ada. Percaya. Dan aku sebenarnya menghitung hari, bilakah percayaku itu akan hilang akhirnya.
Tetapi sampai satu saat, dia muncul.
Hadir.
Ketika itu jugalah segalanya seakan menjadi semakin ringan. Hatta makan juga bahagia. Bersembang juga bahagia. Segala-galanya bahagia. Hati sentiasa lapang. Jiwa sentiasa senang. Bahkan segala kesusahan dan kesukaran, semuanya seperti kapas yang berterbangan.
“Bila saya bangun pagi dan awak ada di sisi, saya ada perasaan yang tidak dapat digambarkan. Saya masih ingat hari-hari saya berhempas pulas mendisiplinkan diri agar menjaga Subuh. Awak di sisi membuatkan saya rasa selamat.”
Dia menunduk. Wajahnya mula memerah.
“Begitulah juga bila kita makan bersama, bila kita baca Al-Quran bersama, bila kita solat bersama, bila kita qiam bersama, bila kita pergi program-program bersama, saya rasa macam lebih sempurna, lebih kuat, lebih bertenaga. Saya tidak dapat gambarkan perasaan-perasaan pada semua keadaan itu. Awak seakan-akan saya punya guardian angel. Buat saya lebih bersemangat untuk tingkatkan diri, dan rasa tidak letih untuk berusaha lagi. Entahlah.” Aku meluahkan perasaan sebenarku.
Dia kembali menatap wajahku. Mata kami bertemu.
“Apatah lagi saat-saat yang saya sepatutnya tertekan dengan lambakan kerja, waktu-waktu saya tersekat daripada idea, dan awak ada di sisi, seakan-akan Allah memudahkan segala-gala. Saya macam terselamat.”
“Awak ni, lebih-lebih sangat gula ni.” Dia menyentuh kembali pipiku.
Aku memegang tangannya itu. Kemudian menggeleng perlahan.
“Sebab itu, saya sentiasa tersenyum.”
“Oh, itu jawapannya?”
Aku mengukir senyuman semanis mungkin.
“Sebab awak memang harus ada dalam kehidupan saya. Awak adalah kepingan yang menyempurnakan ‘puzzle’ kehidupan saya, yang selama ini saya tidak punya. Awak harus ada di sisi saya, berada di sebelah saya. Allah menjawab doa saya selama ini, dengan wujudnya awak di sini.”
Dia diam. Bunyi ombak mengisi suasana.
“Sorry, speechless.” Dan akhirnya dia yang memecahkannya selepas beberapa ketika.
Aku tersenyum sahaja. Kemudian melepaskan pandangan ke horizon. Menikmati suasana.
“By the way awak, saya ada sampaikan hadiah untuk awak sebenarnya.” Dia menyambung kata.
Aku memandangnya semula. Hadiah?
“Awak sahaja sudah cukup untuk saya. Apa perlunya hadiah? Awak hadiah terbesar Allah buat saya. Susah-susah sahaja.”
“Em, saya rasa, Allah just nak bagi awak hadiah berganda kut. Sebab hadiah yang ni pun bukan hak milik saya sebenarnya. Saya kan kata saya nak sampaikan sahaja.”
Aku mengerutkan dahi. Hadiah apa? Macam berbelit-belit pula penerangannya.
“Hadiah apa tu?”
Dia tersenyum. Perlahan-lahan tangannya membawa tanganku menyentuh perutnya.
“Saya mengandung, dua bulan.”
Mataku membesar.
“Mungkin Allah nak awak lebih bahagia dari bahagia yang awak dah rasa dengan kehadiran saya?” Dia angkat kening dua kali.
Aku segera merebahkan diri dalam posisi sujud kepada Allah SWT.
Menangis syukur.
Daripada dia, datang lagi hadiah daripadaNya.
MasyaAllah, MasyaAllah, MasyaAllah.
Ya Allah, bagaimanakah hambaMu ini mampu mendustakan nikmat-nikmatMu?
Sungguh kalau dihitung semua, tidak terkira harganya.
MasyaAllah.
******
Aku tidak pernah berada di syurga. Tetapi aku berada di dunia penuh pancaroba. Sedangkan Adam yang berada di tempat terindah ciptaan Tuhan memerlukan Hawwa, apatah lagi aku yang di tengah cabaran dunia yang menggila.
Aku tidak pernah berada di syurga. Tetapi aku berada di dunia yang penuh dengan duga. Sedangkan Adam juga gembira dan rasa sempurna tatkala Allah hadirkan untuknya Hawwa, apatah aku yang selama ini sendirian di tengah badai dunia.
Dia nyata harus ada di sisi. Kerna aku memerlukannya untuk menyempurnakan diri ini. Menemani. Buat aku terisi. Menguatkan aku.
Dan bersamaku bergerak ke arah Ilahi.
___________________________________________________________________________________________________________________
© Langitilahi.com
Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan bahan-bahan yang terdapat di sini, namun alamat langitilahi.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa kebenaran pihak langitilahi.com terlebih dahulu
resource: http://langitilahi.com/2011/03/23/cerpen-kau-harus-ada/
No comments:
Post a Comment