BISMILLAH

Search This Blog

Monday, June 13, 2011

Cerpen Srikandi

Cerpen: Srikandi




Muslimah itu Srikandi ~ by my precious friend, Laila Jihad of Deviant Art. May Allah bless u Laila.



Ini buang tabiat namanya. Huhu.

Tak pernah-pernah saya buat perempuan jadi pendekar.

Tapi tak mengapalah. Dah tiba-tiba muncul idea ni. Layan sahajalah kehendak minda ni.

Cerpen ini saya dedikasikan kepada lima bidadari yang mengisi hidup saya baru-baru ini

Ainun, Izzati, Hidayah, Syida dan Aisyah

juga dua sahabat yang baik

Amir dan Haikal

Terima kasih kerana memberikan makna dalam kehidupan ini.

Ok, kepada pembaca,

Enjoy this cerpen!




Cerpen Srikandi.





Kuda tunggangan mereka menapak perlahan. Tanah keras berwarna kelabu keputih-putihan menjadi tapak perjalanan mereka. Sudah jauh mereka berjalan, kini mereka mula melepasi sempadan Wilayah Midori.

“Allahuakbar, letihnya.” Seorang pemuda, berwajah cerah, berpakaian lengan panjang coklat pudar sederhana, mengesat peluh di dahi dengan belakang lengannya. Di belakang tubuhnya tersandang sebilah pedang yang nyata unik ukirannya.

Terus bahunya ditepuk dari arah kanan. “Angkasa Sakti, yang mengundurkan Long Berk dengan Penumbuk Alamnya, mustahil keletihan tika menunggang kuda.”

Angkasa tersenyum memandang lelaki di sebelahnya. Berzirah Tanah Suci, rambut panjang mencecah bahu, dan di belakang lelaki itu tergalas tombak panjang yang terkenal dengan nama Tombak Naga.

“Sengaja mengingatkan diri bahawa hamba ini ada kelemahan juga. Semestinya Panglima Aizan Fahmi lebih utuh orangnya.” Lembut dia menjawab kepada lelaki itu.

Lelaki itu tertawa. Menggeleng. “Manis bicara Angkasa ini. Patutlah Ayahandaku amat menyenangimu, bukankah begitu End?” Aizan Fahmi menoleh ke belakang.

Seorang lelaki berzirah, sedang menyandang sebilah tombak tiga mata di belakang badannya, sekadar mengangkat wajahnya dan tersenyum. Kuda mereka bertiga terus bergerak perlahan. Mereka sudah berjalan selama tiga hari. Menuju satu kawasan bernama Uftzi di Tenggara bumi.

Misi mereka satu. Bertemu dengan Kaum Gergasi dan Makhluk Genetik di sana, meminta agar dua kaum itu menyebelahi Kerajaan Tanah Haram dan Kerajaan ‘Hijau’ Chinmayi dalam kempen memerangi Kerajaan Utopia yang dipimpin oleh Sang Asura. Mereka dijangka sampai ke Uftzi sekitar lima hari lagi perjalanan.

“Ah, Alhamdulillah, ada tempat untuk kita berehat.” Aizan Fahmi menunjuk ke hadapan.

Angkasa dan End memandang ke tempat yang ditunjukkan. Kelihatan seperti perkampungan kecil di atas bukit. Mereka juga mula melihat pada rumput hijau nan luas menyelimuti tanah di situ. Suara-suara manusia turut kedengaran.

“Alhamdulillah.” Angkasa bersuara lega. “Tetapi ini juga menandakan kita telah memasuki lebih ke dalam Wilayah Midori. Padang rumput nan menghijau memang lambang teritori mereka. Bukankah begitu End?” Angkasa memandang End yang berada dalam beberapa jarak di belakangnya.

End sekadar mengangguk.

Wilayah Midori dipimpin oleh Jeneral Rafael, yang merupakan antara Lima Jeneral Utama Kerajaan Utopia. Terkenal sebagai seorang Jeneral yang ceria dan kelihatan seperti tidak memperdulikan apa-apa. Namun di medan perang, dia terkenal sebagai antara yang paling dahagakan darah lawan-lawannya.

“Justeru, dalam berehat juga kita perlu berhati-hati.” Aizan mengingatkan.

Mereka bertiga bergerak perlahan menuju ke arah perkampungan tersebut.



******





Mata Angkasa berkelip tidak percaya. Aizan Fahmi juga begitu. Hanya End sahaja berwajah biasa. Seakan-akan apa yang dilihat mereka kini, adalah perkara biasa kepadanya. Angkasa dan Aizan Fahmi akhirnya memandang End yang berada di antara kedua-dua mereka.

“Mengapa…” Angkasa tidak dapat menyembunyi tanya atas kehairanannya.

End tidak menjawab. Dia membisu sahaja. Sambil kuda mereka bertiga terus membelah sesak manusia yang berada di sekeliling mereka.

“Semua perempuan.” Aizan Fahmi memandang sekeliling. Kini mereka dikerumuni oleh perempuan yang ramai bilangannya. Kecil, remaja, pemudi, wanita, tua. Semua peringkat umur ada.

“Apa yang lebih menakjubkan, mereka…” Angkasa tidak mampu menyempurnakan bicara.

Semua perempuan di situ bertudung litup. Menutup rambut di kepala mereka dengan kain pelbagai gaya hingga ke paras dada. Pakaian mereka pula labuh. Ada sebahagian antara mereka yang memakai purdah, meninggalkan hanya mata yang terdedah.

Menandakan perempuan-perempuan tersebut menganut Agama Langit.

“Ini adalah Perkampungan Hikari. Satu-satunya perkampungan Islam yang wujud di Wilayah Midori. Atau, boleh aku katakan, Perkampungan Islam terakhir. Dan kaum lelakinya telah dikerah keluar dari kampung untuk menjadi hamba di bawah pemerintahan Rafael.” End akhirnya bersuara. Dia perasan kini mata-mata sekeliling sedang panas memandangnya.

“Hiargh!” Satu jeritan ibarat halilintar, namun lebih halus dan nyaring kedengaran.

Mata Angkasa terbuka. Aizan Fahmi terus mencengkam Tombak Naganya. Namun pemilik suara sudah terlebih dahulu sampai ke sasarannya. End.

Pencakar panjang lagi tajam tersekat pada zirah lengan End yang ditempa dari Orihalcoln. Mata End bertemu tepat dengan mata penyerangnya yang kini seakan-akan terhenti sebentar di tengah udara akibat serangannya ditahan oleh End. Perempuan. Berwajah cerah. Berpakaian hijau gelap. Memakai sarung tangan bercakar panjang, dan but seorang pejuang. Tubuhnya dilindungi pakaian perang.

“Jangan fikir aku mahu mengalah Jeneral Utopia!” Suara perempuan itu memetir lagi. Sepakan dilancarkan. End sekadar menggunakan tangannya menahan sekali lagi dengan tangkas. Kemudian dengan meningkatkan sedikit tenaga dalamannya, satu gelombang terhasil menyebabkan perempuan tersebut terpelanting ke udara semula.

Perempuan itu berputar sekali di atas udara, sebelum tunduk mendarat.

Ketika ini, penduduk kampung bertempiaran.

“Serang!” Dia mengeluarkan arahan dengan lantang.

“Nanti. Nan…” Angkasa mengangkat kedua-dua belah tangannya. Namun tidak sempat kalimah ‘nanti’ kali kedua disempurnakan, di hadapan Angkasa muncul seorang perempuan bermata bundar, wajah berselindung di balik purdah, berpakaian merah gelap, berzirah, dan bersenjatakan pedang.

Perempuan berbaju merah itu melibas tanpa memberikan ruang walau sesaat. Mujur refleks Angkasa amat tinggi. Dia membaringkan separuh tubuhnya di atas belakang tunggangannya, sebelum dia mengangkat kaki dan menjarakkan dirinya daripada kudanya.

Perempuan berbaju merah memijak pelana kuda tunggangan Angkasa, dan terus menujah pedangnya ke wajah Angkasa. Sungguh tangkas dan lincah. Angkasa sekadar mampu mengelak dengan menoleh ke kiri pada saat-saat akhir, menyebabkan dia berjaya menjarakkan pipinya dengan bilah pedang itu sekitar seinci. Namun hasil biasan tujahan tangkas perempuan berbaju merah itu, menyebabkan muncul garis luka pada pipi cerah Angkasa. Mata Angkasa membesar.

Ini bukan perempuan biasa!

Angkasa memutarkan tubuhnya seiring tolehannya. Sekaligus tubuhnya terangkat sedikit ke udara, dan tendangan kaki kirinya menyusul putaran jasadnya. Menghentam bahu penyerangnya. Perempuan berbaju merah sedikit terpempan dengan gerak efisyen Angkasa yang langsung tidak ada yang terbazirkan. Tubuhnya menghentam tanah dan berguling sebentar sebelum bangkit berdiri semula dalam keadaan bersedia.

Mata Angkasa bertemu dengan mata Perempuan Berbaju Merah itu.

“Angkasa!” Laungan Aizan Fahmi menarik perhatiannya.

Kelihatan Panglima Tanah Suci itu sedang dikerumuni tiga lagi perempuan yang lebih kurang serupa dengan penyerang Angkasa dan penyerang End.

“Berhenti. Kamu semua telah tersalah sangka.” End meninggikan sedikit suaranya. Auranya sengaja ditingkatkan. Terus udara seakan menjadi berat dan menekan. Pergerakan kelima-lima perempuan yang menyerang mereka menjadi kaku sebentar.

“Cis, jangan kau hendak bermain kata dengan kami. Kami amat kenal dengan zirah Jeneral Utopia. Walaupun kami tahu kau bukannya Jeneral Rafael!” Perempuan berbaju hijau gelap mengajukan pencakarnya ke arah End yang kekal berada di atas kuda.

“Er, End sebenarnya telah berubah pihak.” Angkasa mengangkat kedua-dua belah tangannya. Tanda keamanan.

Perempuan-perempuan yang menyerang mereka berpandangan sesama sendiri. Perempuan-perempuan Perkampungan Hikari yang lain mula berbisik-bisik. Nyata berita itu agak sukar diterima.

End terus turun dari kudanya. Kegagahannya direndahkan. Figur medah lagi angkuh kelihatan mengendur dengan tindakannya. Apatah lagi apabila dia menghunus tombak tiga matanya, dan memacakkan senjata itu ke tanah.

“Aku telah menjadi sebahagian daripada kamu. Saudara kamu di dalam Islam.” End menundukkan kepalanya sedikit.

End, atau nama penuhnya adalah End Less. Setahun yang lalu

Dan suasana di tempat itu terus menjadi senyap, sesenyapnya.

Angkasa sempat memandang perempuan berbaju merah di hadapannya. Ketika ini dia perasan, mata perempuan itu bergenang. Dan kemudiannya jeritan keluar mengiringi tumpahnya air mata perempuan tersebut.

“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!” Perempuan-perempuan itu menjerit keras. Perempuan-perempuan yang lain turut sama mengikuti.

Suasana ini terasa menusuk kalbu. Seakan-akan cahaya datang menerjah ke perkampungan itu.

“Aku adalah Aizan Fahmi. Anakanda kepada Raja Tanah Suci, Ruh Faizan Aizan Zanki.” Aizan Fahmi memperkenalkan diri. Terus sahaja ketiga-tiga perempuan tadi menjadi penyerangnya, menundukkan wajah dan berundur.

“Aku bukan sesiapa. Nama aku Angkasa.” Angkasa mengukir senyuman kepada perempuan berbaju merah di hadapannya. Tetapi dia ada terasa sedikit aneh dengan senyumannya. Seperti ada cecair bergayut di hujung senyumnya.

Darah akibat goresan tadi mengalir rupanya.

Angkasa hendak mengesat dengan balik lengannya. Namun belum sempat dia berbuat demikian, bau harum menusuk hidunganya terlebih dahulu. Matanya membesar. Perempuan berbaju merah berada hampir dengannya, menekap pipinya dengan kain.

“Maafkan kami atas kesilapan kami.” Perempuan berpurdah itu bersuara.

“Benar. Maafkan kami.” Perempuan berbaju hijauh gelap pula bersuara.

Angkasa mengambil kain yang ditekapkan pada pipinya itu, dan berundur beberapa langkah menjarakkan diri dari Perempuan Berpakaian Merah itu.

“Tidak mengapa.” End bersuara perlahan.

“Jadi, apakah gerangannya kami mendapat penghormatan dengan kehadiran kalian bertiga ke mari?” Perempuan berpakaian hijau gelap bertanya.

Satu perkara mengenai mereka, walaupun mereka adalah perempuan, mereka kelihatan tegas dan bertenaga. Langsung tidak segan. Bahkan berani mengangkat kepala apabila bersuara. Mata pula bersinar dengan keyakinan.

“Kami ingin pergi ke Uftzi. Tetapi nampaknya, kami memerlukan rehat.” Aizan Fahmi menjawab.

“Kalau begitu, silakan menjadi tetamu kami dan berehat di sini.” Perempuan berpakaian hijau gelap itu mempersilakan. Dia memberikan isyarat kepada rakan-rakannya yang empat itu, kemudian keempat-empat rakannya bergerak seakan-akan menunjuk jalan.

Perempuan berpakaian merah bergerak mendahului Angkasa. Mata mereka sempat bertemu sekali lagi. Angkasa terasa seperti ada sentuhan di dalam jiwanya bila mata itu menentang matanya.

Akhirnya dia tersenyum.

Teringat kata-kata bapa.

“Perempuan itu hiasan dunia wahai Angkasa. Tetapi biasanya, hiasan jugalah yang melalaikan manusia daripada pencipta mereka. Maka jagalah dirimu, dan jangan kau murahkan dirimu. Ingatlah firman Allah SWT: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Surah An-Nur ayat 30.”

“Angkasa khilaf Bapa.” Dan perlahan-lahan dia mendekati End dan Aizan Fahmi.



******



Rupa-rupanya, bukanlah seluruh lelaki tiada di Perkampungan Hikari. Masih wujud lelaki di sini, namun lelaki-lelaki tersebut adalah anak-anak yang belum mencapai umur 15 tahun. Hal ini kerana, Kerajaan Midori hanya akan mengambil anak-anak lelaki yang berumur atas 15 tahun untuk dijadikan hamba. Bahkan, ada kalangan mereka yang dijadikan tentera paksaan. Menjadi barisan hadapan sebagai pancingan kepada musuh, juga benteng hidup kepada tentera Midori.

Nyata Jeneral Rafael memang tidak mengendahkan akan perihal nyawa mereka. Mereka pada Jeneral Rafael hanyalah bahan permainan sahaja untuk menghiburkan dirinya.

“Kami semakin lama semakin sedikit kerana ketiadaan lelaki. Kini, anak-anak inilah lelaki terakhir di perkampungan ini.” Perempuan berbaju merah, yang kini telah dikenali sebagai Izzati bersuara lembut sambil mengusap anak berumur sekitar 5 tahun di sisinya.

Angkasa mengangguk-angguk. Kasihan.

“Apakah Jeneral Rafael sendiri yang datang merampas lelaki-lelaki kalian?”

Izzati menggeleng. “Jeneral Rafael kekal di tengah Ibu Kota Midori. Kawasan Perkampungan Hikari ini dipegang oleh Gabenor Yami. Dialah yang akan datang ke mari setiap kali ada lelaki-lelaki kami yang mencecah umur 15 tahun.”

“Oh. Em, jadi, ketiadaan lelaki inilah yang menyebabkan kamu semua terpaksa menjadi srikandi sebegini?” Angkasa mendongak sedikit kepalanya. Dia sebenarnya sedang berada di tangga terbawah teratak tempat dia berehat. Kebetulan teratak yang sama digunakan untuk kelas pendidikan anak-anak, maka dia duduk di bawah memberikan ruang. Kelas telah tamat, kini dia dan Izzati bersembang-sembang sambil melayan anak-anak yang tengah berehat. Dia lebih senang di bawah, agar tidak perlu berkali-kali memandang Izzati.

“Tidak juga. Kami memang dilatih dari kecil. Boleh dikatakan, semasa kami kecil dahulu, memang Pemimpin di Perkampungan ini telah bersedia untuk yang terburuk.”

Angkasa terangguk-angguk lagi. Kemudian pandangannya dilemparkan ke seluruh Perkampungan Hikari yang berada di hadapannya. Harmoni. Namun kasihan, keharmonian ini rupanya ada ketakutan dan kepayahan yang menyelimuti. Hatinya seakan menjadi rawan apabila melihat wanita sepereti Izzati perlu bertempur di tengah medan perang.

“Kasihan kalian.” Akhirnya, bicara itu terlepas dari mulutnya.

“Kasihan? Mengapa kasihan?” Usapan Izzati pada rambut anak kecil di sisinya terhenti.

Angkasa tidak memandang Izzati. Dia terus memandang ke hadapan. “Yalah, kalian adalah perempuan, dan terpaksa bertempur di tengah medan.”

Tiba-tiba suasana menjadi senyap. Pelik. Angkasa kehairanan, lantas mendongak. Tubuhnya spontan terus mengengsot dari anak tangga terbawah kepada tanah di bumi. Terkejut kerana Izzati sudah berdiri satu tangga sahaja daripadanya tadi.

Walau wajah perempuan itu tersembunyi di balik purdah, matanya yang menyala itu jelas menunjukkan kemarahan.

“Kenapa?” Angkasa terpinga-pinga.

“Kamu fikir, perempuan itu urusannya apa hah? Sekadar menjadi suri rumah dan membasuh pinggan mangkuk? Melipat pakaian dan mengemas?”

“Aku tidak bermaksudkan begitu.”

“Benar kata orang, lelaki suka memandang rendah perempuan!” Suara Izzati memetir, sebelum dia berlalu pergi.

“Izzati!” Angkasa segera bangun. Memanggil. Tetapi Izzati terus berlalu pergi.

Angkasa menghela nafas. Menggeleng. “Aku nyata tidak pandai berbicara dengan perempuan.”



******



Malam hitam itu dihiasai bulan bintang yang indah. Bulan sabit menambah lagi kegemilangan malam. Suasana sejuk seakan menyempurnakan lagi keadaan. Seakan berada di syurga yang nyaman. Angkasa berbaring memandang langit, sambil ditemani oleh Aizan Fahmi dan End yang masing-masing bersandar di tiang berdekatan.

Mereka telah usai Solat Isya’. Kini berehat-rehat kerana rancangannya esok selepas Subuh, perjalanan mereka hendak terus disambung.

“Aku dengar, tiga hari lagi akan ada sekitar 10 anak-anak lelaki di sini yang meningkat usia mereka ke 15 tahun.” Angkasa membuka bicara.

“Jadi?” Aizan Fahmi mengangkat kening.

“Apakah mungkin jika kita tunggu di sini hingga ke hari itu?” Angkasa menoleh sebentar kepada Aizan Fahmi. Kemudian dia menoleh kepada End. Kedua-dua sahabatnya itu diam sahaja.

“Sukar. Sebab kita sendiri perlu pantas ke Uftzi. Tambahan, kita masih tidak pasti bagaimana keadaan ke Uftzi, dan keadaan di Uftzi. Uftzi adalah tanah misteri yang tidak dijejaki oleh manusia semenjak seratus tahun yang lampau. Maka, kekurangan pengetahuan kita itu akan memakan masa kita. Justeru kita tidak boleh membazirkan masa kita dengan masalah di sini.”

“Tetapi, Kampung ini akan didatangi sekali lagi oleh orang-orang Midori. Aku hanya merasa kasihan.” Angkasa bersuara sayu. Tambahan, selepas melihat reaksi Izzati tadi, dia sukar untuk tidak memikirkan hal itu.

“Angkasa Sakti, memang pahit untuk kita laksanakan. Tetapi lebih baik kehancuran sebuah kampung daripada ketewasan kita keseluruhannya.” End bersuara. Dingin. Namun pandangannya itu ada benarnya. Tidak boleh merisikokan sesuatu yang besar, hanya untuk sesuatu yang kecil.

Angkasa menghela nafas. Ya Allah…

“Tidak mengapa, jangan risaukan kami.” Satu suara mencelah. Aizan dan End kekal di posisi mereka dengan tenang. Tahu siapa yang hadir. Ketika ini, kelihatan Ainun, perempuan yang berpakaian Hijau gelap menaiki tangga. Di belakangnya terdapat Aisyah, Syida dan Hidayah, tiga perempuan yang bertempur dengan Aizan Fahmi. Angkasa bergegas duduk bersila. Agak kurang supan berbaring dengan kehadiran perempuan.

“Kami telah bersiap sedia untuk menumbangkan Gabenor Yami kali ini. Kamu bertiga memang tidak terdapat dalam perancangan kami. Maka ketiadaan kamu pun bukan satu kekurangan.” Ainun bersuara tegas.

“Dan jangan fikir kami perempuan, kami lemah.” Dan selepas itu, Ainun berpaling bersama rakan-rakannya. Nyata terdapat kekerasan pada nada suaranya. Tidak mahu mereka dipandang rendah, hanya kerana mereka perempuan.

Angkasa memusingkan tubuhnya, membelakangkan tangga tempat Ainun tiba sebentar tadi. Dia menghadap kepada Aizan Fahmi dan End.

“Sahabat-sahabat, tolonglah. Apa yang ada di hadapan mata kita, walaupun kelihatan kecil, mungkin jika kita usahakan, akan menjadi sesuatu yang besar pada hari nanti?” Angkasa mengangkat kening sebelah. Mengharap.

“Bukankah kau sudah melihat, mereka sendiri tidak mahukan bantuan kita? Bahkan, mereka seakan tercalar sekiranya kita membantu. Seakan-akan kita meletakkan mereka dalam golongan yang lemah dan kekurangan.” Aizan Fahmi menggaru menyilang tangannya pada dada.

“Mereka hanya tidak memahami. Kita bukan melemahkan mereka. Kita ingin menyempurnakan mereka.” Angkasa berkerut dahi. Nampak bersungguh-sungguh.

“Menyempurnakan?” Dahi Aizan Fahmi kini berkerut sama. Tidak memahami. End pula, seperti kebiasaan, senyap begitu sahaja tanpa riak wajah.

“Iya, menyempurnakan.” Angkasa mengulang. Menegaskan.

Akhirnya, keluhan nafas kedengaran. End. Membuatkan Aizan Fahmi dan Angkasa memandang kepada bekas Jeneral Utopia, penguasa Wilayan Duarte itu.

“Kalau begitu…”



******



“Syida, awak sudah bersedia?” Ainun bertanya, memecah suasana hening pagi itu.

Pagi yang dijangka akan menjadi saksik kepada pertumpahan darah yang banyak. Hal ini kerana, Gabenor Yami akan datang ke Perkampungan Hikari ini bersama-sama tenteranya untuk mengambil anak-anak yang telah menginjak ke umur 15 tahun.

“Em. Kita sudah bersiap dari kecil bukan? Selama ini kita tidak mampu beraksi kerana kaum lelaki kita tidak membenarkan. Kini, mereka semuanya dalam tawanan. Maka bukankah kita punya tanggungjawab untuk mempertahankan anak-anak di sini?” Syida yakin, membetulkan sarung besi pada penumbuknya.

“Kita akan buktikan bahawa kita ini tidak lemah!” Aisyah menumbuk kedua-dua telapak tangannya. Tongkatnya kemas tersandang di balik tubuh.

“Ya. Kita akan tewaskan Gabenor Yami dan orang-orangnya, kemudian kita akan menyerang tempat mereka menawan lelaki-lelaki kampung kita dan membebaskan mereka.” Hidayah membetulkan butnya. Kelihatan pedang dua mata yang sederhana besar tergantung pada pinggangnya.

“Takbir!” Izzati mengangkat mengacung pedangnya ke langit.

“Allahuakbar!” Ainun dan lain-lain menyahut.

Kini semua wanita yang lain bersembunyi di rumah masing-masing. Begitu juga anak-anak lelaki. Kini Lima Srikandi ini menanti di kawasan masuk ke Perkampungan Hikari.

Tidak lama kemudian, yang dinanti tiba. Bunyi semboyan kedatangan Gabenor Yami kedengaran membelah suasana. Terus kelima-lima srikandi bersiaga.

Rombongan Gabenor Yami tiba di hadapan mereka. Tenteranya ramai, sekitar seratus orang. Lengkap berzirah menutup seluruh tubuh. Kebanyakan mereka bertombak. Sekitar 10 orang daripada mereka berkuda zirah, mengiringi seekor kuda yang amat besar dan gagah yang ditunggangi oleh Gabenor Yami.

Gabenor Yami turun. Dia adalah seorang yang agak tinggi dan tegap. Zirahnya kelihatan berat, namun pergerakannya nampak tidak pula lambat. Senjatanya adalah seperti tukul, bersaiz hampir sama dengan tubuhnya. Dia kelihatan empat hingga ke lima kali ganda lebih besar daripada saiz Srikandi Perempuan.

“Ah, apakah ini? Mengapa lima perempuan pula di sini? Mengikut laporan yang aku ada, terdapat 10 anak lelaki menginjak 15 tahun dalam tahun ini. Berikan aku mereka.” Gabenor Yami bersuara megah. Mantel yang tersangkut pada bahu zirahnya beralun ditiup angin.

Ainun tersengih. Dia mengangkat tangannya, mengacu pencakar panjangnya ke wajah Gabenor Yami. “Hari ini, yang kamu akan dapat adalah tentangan daripada kami.”

Suasana sepi sebentar selepas laungan Ainun itu. Kemudian kelihatan seperti Gabenor Yami menoleh kiri dan kanan memandang tenteranya. Tidak lama kemudian, tawanya meletus kuat memecahkan keadaan. Diikuti gegak gempita tawa tentera-tenteranya.

“Hahahahaha.”

“Hahahahaha.”

“Kau sudah gila?” Gabenor Yami menjerit dengan tawa yang masih tersisa. “Kamu berlima? Perempuan? Hendak menewaskan kami yang ramai ini? Tambahan, kami ini lelaki!”

Di balik purdah, Izzati mengetap bibir. Geram.

“Jangan menyesal!” Ainun memberikan isyarat. Terus menyerang tanpa menanti. Dan darah pun bersemburan ke langit tinggi.

Ainun tangkas dengan pencakarnya. Kiri dan kanannya tidak ada yang terlepas seiring pergerakannya. Zirah-zirah lawannya dicarik dengan pencakar menggunakan seni yang tertinggi. Ada juga musuhnya yang ditembusi pencakarnya, apabila dia dengan halusnya menusuk di celahan yang wujud pada zirah lawan-lawannya.

Syida dengan tombaknya melibas kencang, menghentam wajah-wajah musuhnya. Walaupun berzirah, kebanyakan mereka tersembam menyembah bumi selepas menjamah hujung tombak Syida yang keras itu.

Aisyah pula menumbuk dengan ganas menggunakan kedua-dua penumbuknya. Dia memfokuskan tumbukan-tumbukannya pada bahagian tengkuk. Bahagian zirah ternipis yang melindungi tubuh lawan-lawannya. Menyebabkan ramai yang tumbang hanya dengan sekali serang.

Hidayah berputar-putar di tengah musuh dengan pedang dua matanya. Ibarat taufan yang mengganas, dia berjaya mencederakan ramai musuhnya. Dengan cermat tetapi tangkas, dia berjaya membutakan musuh-musuhnya, lantas melumpuhkan pergerakan mereka. Hingga ada musuhnya yang bercucukan sesama sendiri kerana buta.

“Aaaaaargh!” Izzati tangkas menerobos di celah-celah barisan musuh. Menumbangkan sesiapa yang menghalangnya. Cekap dia menggunakan tubuh-tubuh yang ditumbangkan itu sebagai tempat pemijak. Matanya kini fokus kepada satu sasaran semata-mata.

Gabenor Yami.

Terus dia menggunakan peha lawannya yang terbaru, dan terus melonjak, melayang ke arah Gabenor Yami.

“Matilah wahai musuh Allah yang terlaknat!” Suaranya nyaring membelah udara. Pedangnya kemas erat di tangan, menujah ke arah Gabenor Yami.

“Kamu fikir, aku apa?” Gabenor Yami bertempik. Terus aura hebat menyelubungi keadaan. Dia yang kelihatan besar, nyata amat pantas. Penukulnya dihunus, dan segera pedang Izzati menjadi mangsa. Pecah begitu sahaja.

Izzati sendiri melayang ke kanan medan dan berguling tersungkur.

“Hapuskan dia!” Gabenor Yami memberikan arahan kepada pengiring berkudanya, yang nyata kelihatan lebih elit dan lebih hebat berbanding askar-askarnya yang lain. Tentera berkudanya itu memacu laju untuk membelah Izzati dengan tombak mereka.

Tetapi srikandi itu mengguling, mengelak tusukan-tusukan ganas tersebut. Kuda mereka mula memijak-mijak tanah untuk melenyekkan terus Izzati. Srikandi berpurdah itu semakin tersepit. Sedang rakan-rakannya yang lagi empat sibuk dikerumuni lawan masing-masing.

Dum! Salah seekor kuda menghentak bumi, menahan tubuh Izzati dari bergerak. Ketika ini jugalah sebilah tombak menujah ke arahnya. Dia tidak sempat mengelak. Pantas Izzati memejamkan mata.

Tang! Bunyi dentingan yang sangat kuat menggegarkan gegendang telinga di balik litupan kain kepalanya. Matanya pantas terbuka.

Satu tubuh sederhana, sedang berlutut sebelah kaki di hadapannya, dengan kedua-dua belah tangan memegang erat hulu pedang, menahan tombak yang sepatutnya telah menembusi wajahnya. Tetapi nampaknya, mata tombak itu hanya melalui hadapan wajahnya sahaja, mengoyakkan purdahnya. Nyawanya terselamat.

“Hiiiiiargh!” Penyelamatnya itu meningkatkan tenaga. Terasa hembusan aura yang terhasil dari tubuh lelaki itu menyapa wajahnya. Kain pakaiannya beralun. Lelaki penyelamatnya itu memecut tangkas, membenamkan tombak tadi ke tanah, dan mematahkannya. Kemudian terus melibas pedangnya dalam bentuk putaran, menebas leher penungang-penunggang kuda yang hampir dengan dirinya.

Kemudian lelaki itu mendarat semula. Menghadap dirinya.

Angkasa Sakti.

Dan lelaki itu seakan terpana sebentar bila melihatnya.

Baru dia perasan yang wajahnya tidak dilindungi purdah kerana perlindunganya itu terkoyak.

“Subhanallah.” Dia dapat mendengar ayat yang terkeluar dari mulut lelaki itu.

Belum sempat wajahnya panas dengan apa yang terjadi, dia melihat seorang penunggang kuda tangkas dengan tunggangannya mara menujah ke arah Angkasa. “Angkasa, belakang kamu!” Izzati menjerit.

Angkasa memutarkan tubuh, mengelak tujahan tombak tersebut dengan kadar seinci, sekaligus menebas kepala lawannya. Tanpa menoleh kembali kepada Izzati, Angkasa terus mara ke tengah-tengah medan pertempuran.

Kini tentera-tentera Gabenor Yami kelihatan terpukul dengan hebat sekali.

Angkasa nyata amat ampuh dan tangkas. Sekali-sekala, dapat dilihat dia mempraktikkan satu tumbukan aneh yang mampu membasmi sekitar 10 tentera sekaligus. Belum dikira sekiranya dia mempraktikkan satu seni pancungan aneh yang mampu menghapuskan sebilangan besar tentera. Dan pemuda itu langsung tidak tempang gerak langkahnya.

Lima lawan melompat serentak ke arah Angkasa. Angkasa melempar pedangnya ke udara, dan pedangnya terus bergerak dengan sendirinya. Membelah lima lawannya tersebut. Darah menghujani bumi. Angkasa terus menangkap hulu pedangnya dan mara ke arah Gabenor Yami.

“Siapakah kau!”

“Angkasa Sakti.” Matanya bersinar. Dia tahu, Gabenor Yami tidak mengenalinya. Dia bukan sesiapa. Bukan Jeneral Utopia yang meninggalkan Kerajaan Utopia. Bukan Panglima daripada Kerajaan Tanah Haram atau Chinmayi. Dia hanya pemuda dari daerah hujung dunia bernama Edge. Tetapi dia dikatakan manusia terpilih dari kalangan orang-orang yang beriman kepada Allah SWT di zaman ini.

“Aku adalah yang akan menumbangkan Sang Asura. Dengan izin Allah SWT!” Yakin dia bersuara. Terus dia menampar penukul gergasi Gabenor Yami. Kedua-dua mereka bertempur hangat. Namun belum pun pertempuran itu lama, Izzati menyertari pertempuran.

Angkasa terkejut. Konsentrasinya agak terganggu dengan kehadiran Izzati. “Izzati, meminggir!”

“Tidak. Sudah aku nyatakan bahawa kami tidak memerlukan bantuan!” Izzati berkeras.

Gabenor Yami melibas penukulnya. Angkasa berguling mengelak. Izzati turut berjaya. Angkasa terus memecut melompat untuk menjamah wajah Gabenor Yami dengan tusukan pedangnya. Namun gabenor itu lebih tangkas dengan menangkap pedang Angkasa begitu sahaja. Sebelah tangannya yang memegang penukul pula tidak diam semata-mata. Mata penukul itu mencari Izzati.

Tubuh wanita itu akhirnya menjadi mangsa. Berguling bersemburan darah.

“Izzati!” Angkasa jadi cemas.

“Kalau mahu risaukan perempuan itu, masuklah ke kubur bersamanya bajingan!” Gabenor Yami berteriak. Auranya yang ganas meletus membuak-buak. Sekali pandang, ada gaya Jeneral O Zero. Angkasa terpelanting, dan terseret hingga ke tempat Izzati tersungkur. Dia memacakkan pedangnya untuk menghentikan seretannya agar tidak pergi lebih jauh.

“Izzati, kamu bagaimana?”

“Urgh…” Izzati memegang perutnya. Nampaknya kecederaannya bukan semata-mata di luar, tetapi dalamannya turut tercedera.

Angkasa memandang Gabenor Yami.

Mata mereka bertemu. Panas. Medan peperangan jadi makin tegang. Empat srikandi yang lain masih bertungkus lumus bertahan dan menyerang. Walaupun nampaknya, mereka sendiri semakin tenat.

“Hendak menumpaskan Sang Asura? Aku pun belum mampu kau tangani. Jangan berkata sumbang terhadap Tuanku Sang Asura. Dia tidak akan ditewaskan oleh orang seperti kamu!” Gabenor Yami bertempik garang. Auranya kini mengeluarkan imej-imej tengkorang kelabu.

Angkasa mengumpul nafas. Kekudanya ditutup. Dia berdiri tegak bersahaja. Dua tangan memegang hulu pedang dengan erat. Kemudian perlahan-lahan kekudanya dibuka. Kaki kanan ke hadapan, makakala kaki kiri sebaliknya. Membengkok. Matanya tajam memandang lawan. Auranya tiba-tiba seakan lesap.

Gabenor Yami kelihatan terkejut. “Kau sudah gila? Hendak melawan aku ini tanpa menggunakan aura?” Gabenor Yami terus menerkam ke arah Angkasa.

“Yang gila itu, adalah engkau!” Ketika itu juga Angkasa lesap daripada pandangan Gabenor Yami. Libasan penukulnya hanya memakan imej Angkasa yang ditinggalkannya. Mata Gabenor Yami terbelalak.

“Pancung Langit!” Angkasa tiba-tiba muncul di belakang Gabenor Yami, dan memancung ke atas. Satu sinar membelas dari tanah ke udara. Kelihatan meluncur laju cahaya tersebut ke angkasa. Namun serangan itu hanya mengenai tangan kanan pemegang penukul gergasi Gabenor Yami. Gabenor itu sempat menampar wajah Angkasa dengan tindakan refleks menggunakan tangan kirinya. Tersembur darah dari mulut Angkasa. Jatuh lelaki itu ke bumi, berguling dan akhirnya tertiarap kelemahan berhampiran Izzati.

“Celaka! Celaka! Celaka!” Gabenor Yami mengerang kesakitan. Nafasnya jadi termengah-mengah dengan kehilangan darah yang teramat banyak. Tetapi dengan kekuatan yang masih tersisa, dia berusaha juga untuk menghapuskan Angkasa. Dia mengangkat penukulnya dengan tangan yang sebelah lagi.

“Kalau mati, biar mati bersama kau sialan!” Angkasa didekati setapak demi setapak.

Angkasa tersengih.

“Mengapa kau mesti membantu? Apakah kerana kami lemah?” Izzati bersuara terketar-ketar.

Angkasa menggeleng lemah. “Kamu tahu, Allah SWT berfirman: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, Surah An-Nisa’ ayat 34. Ayat itu bukan menyatakan kamu lemah, tetapi ayat itu menyatakan bahawa, kami ada kelebihan dalam melindungi kalian, mempertahankan kalian dari satu sisi. Contohnya dalam hal ini.”

“Heh, apakah melindungi, kita hampir tewas sekarang.” Izzati mencebik. Kemudian terbatuk darah.

Angkasa menggeleng lagi. “Kalian masih srikandi walaupun hanya membesarkan anak. Kalian masih srikandi walaupun melayan suami. Kalian masih srikandi walaupun menguruskan rumah tangga. Kerana di tangan kalianlah, ummah itu terbentuk sebenarnya. Di ruangan itu, kami lelaki memerlukan kalian. Tidakkah kalian memerhatikan?”

Izzati terdiam.

“Maka jangan menanggung beban yang tidak sepatutnya.” Angkasa melempar senyuman. Walaupun bibirnya kini sudah dihiasi darah. Akhirnya Izzati tertawa.

Gabenor Yami semakin hampir.

“Mengapa tertawa?” Angkasa kehairanan.

“Ironiknya, aku mengetahui hal ini di hujung nyawa.”

“Matahari itu malap hanya ketika kiamat. Usaha itu tiada, hanya tika ajal tamat. Kalau usaha yang masih ada itu adalah tawakkal kepada Allah SWT sahaja, maka bertawakkal lah.” Angkasa kekal yakin. Izzati terjeda. Wajah pemuda itu ditatapnya dalam.

Gabenor Yami kini menaungi mereka berdua. Penukul siap di atas mereka. Tinggal dihentak sahaja, untuk menamatkan nyawa mereka.

“Mati.” Gabenor Yami mula hendak menghempaskan penukulnya. Namun ketika ini, tukulnya dihentam dari belakang. Menyebabkan senjata itu melayang jauh. Terus tubuh Gabenor Yami pula terpancung dua.

Dari celahan belahan tubuh itu, darah yang masih bercantum antara dua tubuh itu, jelas kelihatan End dan Aizan Fahmi muncul.

“Heh, apa yang kamu lewat sangat ha?” Angkasa tersengih. Izzati sekadar mampu membeliakkan mata sahaja.

“Tempat itu rupanya agak jauh.” Aizan Fahmi menggeleng. “Mujur kita menunggang kuda.” Aizan Fahmi memandang End. Bekas Jeneral Utopia itu sekadar mengangguk sahaja.

“Serang!” Kedengaran gemuruh suara pejuang-pejuang lelaki. Menjadikan rasa terkejut Izzati tidak surut-surut semenjak tadi.

“Itu…” Izzati rasa tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

“Ayah!” Kedengaran Syida menjerit.

“Pakcik!” Suara Ainun pula kedengaran di celah kegempitaan laungan semangat tentera-tentera yang baru hadir, dibawa oleh End dan Aizan Fahmi.

“Ya Allah Kak Izzati!” Kedengaran dua suara serentak menuju ke arahnya.

Air mata Izzati mengalir. “Adik Haikal! Adik Amir!” Terus kedua-dua adiknya itu mendapatkannya.

“Menggunakan peluang Yami ke mari bersama sebahagian besar tenteranya, aku dan End pergi ke tempat mereka menawan orang-orang lelaki kamu. Semestinya yang kami boleh selamatkan ini hanyalah sebahagian sahaja. Sebagaimana yang kamu pun tahu, sebahagian lain sama ada sudah dihantar ke pusat, mahupun mati di medan perang.” Aizan Fahmi menjelaskan.

End diam sahaja. Dia sekadar memandang medan pertempuran. Nampkanya, medan pertempuran tidak memerlukannya. Orang-orang Perkampungan Hikari nampaknya memenangi. Apatah lagi dengan tumbangnya Gabenor Yami, moral tenteranya pasti jatuh ke tahap terendah.

“Alhamdulillah. Alhamdulillah. Allah jugalah tuan punya kekuatan dan kemenangan.” Angkasa bersuara sambil memandang langit biru yang cerah. Tidak padan dengan bumi yang sedang bermandikan darah.

Kemenangan menyebelahi mereka hari ini.



******



Lelaki ada kekurangannya. Perempuan ada kekurangannya. Lelaki ada kelebihannya. Perempuan ada kelebihannya. Sama-sama saling perlu memerlukan, dan mesti lengkap melengkapi untuk memimpin kehidupan ke arah yang lebih baik.

Tidak ada siapa yang lebih dari siapa. Pada satu sisi, perempuan memerlukan lelaki. Pada sisi lain, lelaki memerlukan perempuan. Kalau menyedari, Islam mengangkat martabat perempuan di dalam kefahaman ini. Lelaki perlu memberikan sumbangannya dari segi kelebihannya, dan perempuan perlu memberikan sumbangannya dari sisi kelebihannya.

Allah Maha Adil, tinggal keadilan Allah itu tidak ramai yang menyedari dan merasai. Apatah lagi hendak memahami.

“Kami ucapkan terima kasih atas layanan yang baik terhadap kami.” Aizan Fahmi menunduk hormat. End dan Angkasa turut sama menunduk.

“Kami yang sebenarnya perlu ucapkan terima kasih.” Seorang lelaki berumur, bertubuh tegap, menjabat tangan dengan mereka bertiga. Kelihatannya, dia adalah yang paling tua di Perkampungan ini. Mereka mengenalinya sebagai Ayah kepada Ainun.

“Kami bergerak dahulu.” Angkasa mengangkat tangan.

“Angkasa!” Tiba-tiba satu suara memanggil.

Angkasa memandang. Para lelaki membuka ruang agar Izzati kelihatan di tengah-tengah mereka. Perempuan itu indah berpakaian merah gelap, bertudung litup tanpa zirah pada tubuh. Purdah kembali menutup wajahnya.

“Kami akan menjadi srikandi yang baik untuk ummah ini.”

Bibir Angkasa koyak dengan senyuman.

“Selagi kita menyumbang di atas jalan Allah ini, kita adalah pahlawan-pahlawanNya insyaAllah.” Angkasa terus bergerak dengan tunggangannya, membuntuti End dan Aizan Fahmi.

“Hati-hati!” Suara Izzati melaung melewati cuping telinganya.

Angkasa menunduk sahaja.

Aizan Fahmi di sisinya hanya memandangnya sahaja. Angkasa perasan.

“Kenapa?” Angkasa mengangkat kening, hairan.

Aizan Fahmi tersenyum. “Bukan apa, terkenang adindaku Maisarah.”

Wajah Angkasa merah bila nama itu disebut. “Em, mengapa dengan Maisarah?”

Aizan Fahmi tertawa. Kemudian memandang langit. “Entahlah. Dia macam ada pesaing pula.”

Dan Angkasa diam sahaja. Tidak berbicara apa-apa.


© Langitilahi.com

Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan bahan-bahan yang terdapat di sini, namun alamat langitilahi.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa kebenaran pihak langitilahi.com terlebih dahulu

Mari Menjadi Hamba

No comments:

Post a Comment